Komentar Paralimpik Tokyo 2020

Wahai KBS, MSN… apa tunggu lagi?!


Latif dan Liek Hou atlet terakhir yang pulang dari Tokyo dengan dua pingat emas .

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BERAKHIRLAH sudah Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Ogos hingga 5 September dengan pelbagai cerita suka dan duka yang pastinya akan menjadi kenangan buat atlet dan juga dunia sukan Malaysia.

Pastinya semangat juang tinggi dan tidak pernah kenal erti putus asa menjadi intipati kepada kejayaan kontinjen negara yang pulang dengan membawa kejayaan manis apabila mencatatkan pencapaian cemerlang sejak menyertai temasya berkenaan pada 1972 dengan membawa pulang tiga emas dan dua perak.

Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar seramai 22 atlet berjuang dalam temasya paling mencabar yang tertangguh setahun akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pencapai tahun ini seharusnya mendapat pujian yang tinggi memandangkan atlet para negara turut mengatasi pencapaian lima tahun lalu sewaktu di Rio dengan catatan tiga pingat emas dan satu perak.

Lebih manis, kejayaan kali ini adalah rekod terbaik kontinjen Malaysia sepanjang enam edisi penyertaan di Sukan Paralimpik tersebut.

Tepati ramalan dengan pencapaian

Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin atlet pertama yang menggegar bumi Tokyo apabila menghadiahkan pingat emas pertama dalam ka­tegori 72 kilogram (kg) dengan angkatan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.

Nyanyian lagu Negaraku dan kibaran Jalur Gemilang terus bergema di Tokyo melalui kejayaan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou sebelum dilengkapkan atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly untuk menutup tirai Sukan Para­limpik 2020 dengan kilauan emas.

Namun disebalik suka pasti akan ada dukanya apabila jaguh atlet lontar peluru yang juga penyandang juara di Rio, Muhammad Ziyad Zolkefli yang sememangnya menjadi taruhan emas gagal menepati sasaran malah tiada pingat langsung buat atlet kelahiran Kuala Lumpur ini.

Kehilangan emas Ziyad bukanlah disebabkan dia gagal melakukan lontaran tetapi penyertaannya dibatalkan ekoran lewat masuk ke bilik menunggu.

Begitu juga taruhan emas dalam acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal)  melalui, Mohamad Ridzuan Puzi tidak kesampaian apabila dia tidak berjaya mempertahankan pingat emas 2016 selepas menamatkan larian di kedudukan keempat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut ketibaan kontinjen terakhir Malaysia di KLIA, semalam.

Apa perancangan seterusnya KBS?

Kini segalanya telah berakhir dan apakah perancangan yang perlu dijayakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adakah cukup dengan menanti kepulangan atlet di KLIA, Sepang dan hanya memberikan ucapan tanpa tindakan serius perlu dilakukan buat atlet-atlet Paralimpik negara.

Begitu juga Majlis Sukan Negara (MSN) yang seharusnya lebih terbuka dan memberikan penekanan kepada sukan-sukan lain yang berpotensi meraih pingat emas pada temasya di Paris nanti. Ingat atlet yang menang pada temasya di Tokyo belum pasti akan merasainya di Paris.

Memang ada sebagaimana dicapai Latif tetapi adalah lebih baik jika sukan lain turut berpeluang meraih emas dan memastikan lagu Negaraku berkumandang.

Bukan apa, bimbang masalah yang dihadapi Ziyad akan berulang pada masa akan datang, RM1 juta sudah berada dalam gengaman namun hilang begitu sahaja !!!

Buat atlet Paralimpik negara anda sememangnya luar biasa untuk sama-sama berada dalam rekod kegemilangan sukan negara.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: