
Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
PEMENANG pingat emas Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, Latif Romly tidak bercadang untuk terus pulang ke kampung halamannya di Perlis setelah tamat menjalani kuarantin di tanah air.
Latif yang mempertahankan emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) berkata, dia sebaliknya mahu menjalani sesi pemulihan terlebih dahulu, sebelum dijangka menemui ibu bapanya pada Oktober depan.
“Tengok dulu, saya akan menjalani kuarantin dahulu (selepas tiba di tanah air semalam). Kemudian saya akan ikut sesi pemulihan.
“Mungkin saya akan mengambil masa seminggu dua begitu. Mungkin Oktober baru saya akan balik,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Mengenai tindakan bapanya, Romly Mat, 70, yang akan menunaikan nazar membotakkan kepalanya selepas anak bongsunya itu berjaya merangkul emas di temasya tersebut, Latif berkata, ayahnya memang gemar bernazar begitu.
Sementara itu, atlet berusia 24 tahun itu turut memaklumkan bahawa kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius.
“Sekarang keadaan saya dah okey. Cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Koyakannya macam ‘stage 2’ sahaja, tidak serius sangat,” katanya.
Add Comment