Paralimpik Tokyo 2020

Masih ada ruang perlu diperbaiki – Faizal


 

Faizal menyambut ketibaan kontinjen terakhir di KLIA, Sepang hari ini.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) percaya penghargaan kepada kejayaan kontinjen Paralimpik negara di Tokyo sahaja tidak memadai kerana masih ada ruang untuk diperbaiki dan boleh dilakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakan golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu golongan OKU dan usaha untuk membangunkan atlet Paralimpik tidak hanya terletak kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sahaja.

“Pendekatan secara holistik segenap lapisan masyarakat bermula dengan usahasama serta kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri,” katanya ketika menyambut kepulangan terakhir kontinjen paralimpik negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Faizal memaklumkan sudah tiba masanya ada pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008, bagi mengambil kira dan merapatkan jurang sedia ada berdasarkan peredaran pesat yang dikecapi negara ketika ini, demi memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan berkenaan terutama ketika semua terpaksa berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Buat permulaan, saya mohon kepada semua pihak, sama ada agensi kerajaan atau swasta yang menyediakan perkhidmatan penting seperti bantuan kebajikan, perbankan, makanan dan peruncitan untuk memastikan perkhidmatan mereka, terutamanya diatas talian benar-benar dapat diakses secara menyeluruh dengan menitik beratkan kemudahan digital bagi golongan kurang upaya untuk menjalani urusan harian.

“Begitu juga dengan peluang pekerjaan, dimana dasar satu peratus pengambilan pekerja golongan orang kurang upaya di sektor awam dapat direalisasi sepenuhnya.

“Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya, dan saya yakin sektor swasta akan mencontohinya juga apabila sektor awam dapat memenuhi dasar pengambilan pekerjaan dalam kalangan OKU.

“Inilah masanya untuk sektor swasta memainkan peranan dalam mereliasasikan rasa cinta kepada negara,” jelasnya.

Kontinjen negara berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang sejak menyertai temasya berkenaan pada 1972 dengan berjaya membawa pulang tiga emas dan dua perak.

Tiga emas berkenaan disumbangkan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para, Cheah Liek Hou dan atlet lompat jauh, Ahmad Latif Romly.

Perak pula diraih Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) sekali gus menepati sasaran yang diletakkan iaitu tiga emas.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: