Komentar

Penggal baharu barisan MOM… ini yang perlu diberi tumpuan!

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kekal sebagai Presiden MOM.

Oleh: JJFIRDAUS

PERTAMA sekali tahniah diucapkan kepada seluruh barisan kepimpinan baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baru sahaja dilantik hingga ke tahun 2025.

Ada beberapa muka baharu yang berjaya memegang jawatan dan ramai juga orang lama yang masih berjaya mengekalkan jawatan masing-masing untuk sekurang-kurangnya sepenggal lagi.

Tempoh empat tahun mendatang ini bukanlah satu tempoh yang mudah bagi barisan kepimpinan baharu ini kerana kontinjen negara bakal beraksi dalam empat temasya besar sama ada di peringkat Asean, Asia mahupun dunia.

Tahun 2022 sahaja ada tiga temasya sukan antarabangsa menanti iaitu Sukan Sea Vietnam, Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Komanwel Birmingham. 2023 pula menyaksikan Malaysia akan bertanding di Sukan Sea Kemboja pula.

Kesemua temasya sukan ini seharusnya perlu diberi perhatian sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana semua sedia maklum bahawa kontinjen negara gagal menepati sasaran dalam beberapa temasya sukan sebelum ini.

Jadi apa yang perlu kepimpinan baharu MOM lakukan untuk memastikan Malaysia berjaya di keempat-empat temasya sukan ini bagi memastikan impian melihat pingat emas pertama Olimpik negara tercapai di Paris pada 2024 nanti.

Pertama, MOM perlu meletakkan klasifikasi atlet. Tidak semua atlet bertaraf Olimpik perlu di hantar ke Sukan Sea. Apa guna memenangi banyak pingat di peringkat Asia Tenggara tetapi tercorot di Olimpik.

Inilah masanya atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang cemerlang diberikan pendedahan dan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Kita perlu menyusun semula struktur atlet kita dan bukannya menjadikan Sukan Olimpik sebagai medan mendapatkan pengalaman.

Atlet bertaraf olimpik perlu dihantar bertanding ke kejohanan-kejohanan antarabangsa lain untuk mendapatkan pengalaman dan apabila layak ke Sukan Olimpik, atlet kita seharusnya sudah bersedia untuk memenangi pingat.

Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik 2020, Tokyo.

Kedua, MOM perlu mengkaji semula rekod kebangsaan kita yang sememangnya di bawah par. Jika dilihat pada prestasi atlet di Olimpik Tokyo, mereka dilihat seakan-akan cemerlang apabila berjaya mencatat rekod baharu kebangsaan.

Tetapi secara realitinya, rekod kebangsaan itu dipecahkan menerusi saringan pertama dan atlet tersebut berada di kedudukan terakhir sesi saringan tersebut dan gagal layak ke peringkat final.

Jika ini yang kita banggakan sebagai berjaya memecahkan rekod kebangsaan, maknanya kita masih syok sendiri dan hanya berbangga dengan pencapaian yang jauh dari standard antarabangsa.

Atlet-atlet prospek pingat emas pula perlu diberikan jurulatih berkelas dunia. Tidak salah berbelanja besar dan letakkan KPI yang tinggi kepada mereka bagi memastikan kejayaan menjadi milik atlet negara.

Selain itu, MOM juga perlu mendengar keluhan wartawan sukan yang sememangnya lebih faham dan nampak penglibatan seseorang atlet itu kerana mereka turun padang bermula dari latihan hingga ke peringkat pertandingan.

Jangan mudah melenting dengan laporan media sekiranya mereka menghentam kerana media sememangnya melaporkan sesuatu yang realiti dan bukan sebaliknya.

Hentikan juga konsep menyambut kepulangan atlet sebagai wira negara. Gelaran wira ini hanya boleh diperolehi jika seseorang atlet itu berjaya membawa pulang pingat dan bukannya sekadar bertanding di peringkat saringan.

Selain itu, jawatan pegawai-pegawai sukan juga haruslah diberikan kepada individu yang arif dengan sukan dan bukannya lantikan politik semata-mata.

Kita sudah mempunyai fasiliti yang mantap, apa yang kita perlukan adalah lebih pendedahan dalam kejohanan antarabangsa sebagai persediaan buat para atlet.

Foto: OCM

‘Grassroot development’ juga perlu dipertingkatkan agar kita dapat melahirkan lebih ramai pelapis untuk pelbagai jenis sukan. Sampai bila kita hendak memerah keringat atlet yang sama setiap kali bertanding di temasya antarabangsa.

Cukuplah dengan beberapa kegagalan kontinjen negara. Cukuplah juga dengan alasan mencari pengalaman di Sukan Olimpik. Sudah sampai masanya kita bertanding kerana pingat.

Selamat maju jaya diucapkan kepada semua barisan kepimpinan baharu MOM. Semoga sukan Malaysia akan lebih cemerlang dibawah kendalian anda. Fikir-fikirkanlah.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: