Bola Sepak Komentar

Sudah tiba masanya pertukaran perlembagaan MFL

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Timbul isu ketika aksi Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini.

Oleh: MOHD FARIQ

TIPIKAL buat penulis memulakan rutin seharian dengan membaca laporan akhbar-akhbar tempatan.

Secangkir kopi sentiasa menjadi peneman setia.

Perkembangan semasa; politik, ekonomi mahupun berita sensasi dibaca satu per satu dan penulis cuba menyerap setiap informasi yang disampaikan oleh media tempatan kita.

Tiba masa ‘subjek’ terakhir iaitu segmen sukan yang sengaja penulis simpan untuk mendapatkan kemuncak rasa puas dalam perjalanan membaca satu akhbar.

Antara tajuk yang digunakan adalah ‘Ziyad tidak layak terima ganjaran’, ‘Dua badang digantung’ dan ‘Covid chaos in Brazil’.

Namun penulis lebih berminat untuk berbicara mengenai insiden yang berlaku melibatkan pasukan Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC.

Ini kerana penuliis berfikirkan sesuatu sebagaimana penulis sedia maklum tentang permasalahan berlaku melibatkan dua pasukan Liga Premier ini.

Dikatakan dua kelab ini sedang mengemukakan permohonan di mana Kelantan FC telah dikenakan denda sebanyak RM30,000 di atas kesalahan menukarkan pemain gantian yang tidak mengikut peraturan berdasarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan ini telah dibuat selepas Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan Mesyuarat Khas Malaysian Football League Pertama (2021-2025) pada 3 September lalu.

‘Ada sesuatu tak kena’ itulah reaksi spontans sekilas berlalu di dalam pemikiran penulis.

MFL PERLU BERGERAK LEBIH PROAKTIF DAN SENSITIF

Jika kita menyemak kembali kronologi kes kedua-dua pasukan terbabit atau penulis memetik nama pasukan terbabit yang tertera dalam media adalah Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC, bagaikan ada satu rangkaian dilihat ‘hilang’.

Penulis secara peribadi mengganggap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya menjadi platform lebih ideal dalam usaha menyelesaikan permasalahan apatah lagi ia berunsurkan aspek ‘Law Of the Games’.

Penulis tidak berniat menuduh apa yang dilakukan MFL itu tidak betul di mana pengendali Liga Malaysia itu bertindak sesuatu hukuman berlandaskan Manual Liga Malaysia 2021.

Maaf cakap penulis mengaku penulis bukanlah pakar peraturan, perundangan mahupun perlembagaan.

Cuma penulis sedikit mungkin musykil apabila kedua-dua kelab ini dilaporkan mahu mengemukakan rayuan berdasarkan keputusan yang diambil oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL tetapi timbul persoalan penulis kerana setahu penulis MFL tiada Jawatankuasa Bebas atau Rayuan dan takkan rayuan itu akan berbalik kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL yang menjatuhkan hukuman?

Pengerusi Negeri Sembilan FC, YTM KOL (K) Kehormat Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin mendedahkan kelabnya akan menghantar surat rayuan.

Bukan apa, penulis berpendapat sepatutnya rayuan mereka itu seharusnya dihantar kepada badan bebas atau jawatankuasa yang berbeza daripada pihak yang menjatuhkan hukuman.

Dan setahu penulis MFL tidak memiliki jawatankuasa rayuan dan penulis mengetahui bahawa pasukan ada hak untuk merayu sebagaimana mereka diperuntukkan tempoh selama 14 hari berbuat demikian.

Justeru penulis secara peribadi berpendapat pasukan tidak boleh mengemukakan rayuan kepada pihak yang sama menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Jadi secara praktikalnya apabila kita bercakap mengenai aspek teknikal melibatkan peraturan permainan, FAM lebih ideal berbanding MFL sebagai rujukan. Seperti yang kita maklum, FAM mempunyai proses kehakiman menerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan. Kedua-dua jawatankuasa itu dianggotai oleh individu dengan latar belakang undang-undang.

Mungkin MFL akan menjadi platform tepat buat mana-mana kelab ingin menyelesaikan berkaitan hak penyiaran atau apa-apa subjek yang tidak melibatkan teknikal permainan. Berdasarkan kes-kes pendahuluan, MFL menerusi First Instance Body (FIB) mengenakan hukuman pemotongan mata andai ada kes gaji tertunggak atau mana-mana kelab didapati bersalah melanggar syarat-syarat dalam pelesenan kelab.

Bukan apa, penulis tidak mahu kredibiliti MFL terjejas biarpun mereka sebenarnya cuba menjalankan amanah menjalankan sesuatu tugas mengikut Manual Liga Malaysia itu sendiri.

Tak ‘syok’ lah kalau MFL yang sepatutnya menjaga kepentingan kelab-kelab Liga Malaysia dan perkara mengaitkan elemen yang sedikit di luar konteks ini akan menjejaskan mereka.

MASA UNTUK PERUBAHAN DEMI KEHARMONIAN LIGA NEGARA

Penulis beranggap MFL boleh menjadi badan kehakiman sendiri jika badan bebas dilantik untuk mengadili sesuatu kes.

Ia bukan sahaja dapat menunjukkan dasar keterbukaan MFL sebaliknya dalam masa yang sama ia juga dapat mengelakkan konflik berkepentingan seperti apa yang berlaku sekarang.

Mungkin kes ini juga boleh terjadi pada masa akan datang.

Ini akan menjadi satu pengajaran dan membuka mata bukan sahaja kepada MFL atau FAM semata-mata tetapi kelab juga harus mahir dalam sistem perundangan atau peraturan bola sepak masa kini.

Kata pepatah Inggeris, better late than never dan penulis yakin setiap usaha yang dilakukan oleh MFL selama ini bersentimen meningkatkan kualiti liga tempatan.

Namun kali ini penulis berharap MFL sedikit agresif untuk memajukan industri bola sepak supaya wajah sukan ini sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.

Sudah tiba masanya pada pendapat penulis bahawa MFL boleh meminda perlembagaan terutama mengaitkan aspek Law Of The Games dan ia lebih afdal diuruskan oleh FAM selaku badan kebangsaan berbanding MFL sebagai pengurus liga domestik yang sepatutnya fokus kepada aspek-aspek pembangunan dan komersial liga tempatan.

Sebagai contoh, pernah atau tidak anda mendengar pengelola Liga Inggeris, FAPL, menjatuhkan hukuman ke atas kelab Liverpool, misalnya, atas kesalahan melanggar peraturan atau syarat-syarat pertandingan?

Kita tidak boleh lambat atau leka kerana bola sepak harus bergerak seiring dengan perubahan arus moden zaman kini.

Ingatlah disebabkan tiga minit terlambat, Ziyad boleh terlepas pingat emas Paralimpik.

Akhir kata daripada penulis, masa itu emas dan lakukan perubahan terbaik demi bola sepak negara.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: