
PELUMBA profesional negara, Jazeman Jaafar dilantik sebagai Bendahari Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta, bagi menggantikan Dato’ Razlan Razali.
Pelantikan ini menandakan satu langkah strategik MAM dalam memperkukuh struktur kepimpinan organisasi dengan menggabungkan kepakaran profesional serta pengalaman luas dalam industri sukan permotoran.
Jazeman Jaafar merupakan antara pelumba kereta profesional Malaysia yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perlumbaan ketahanan (endurance).
Sepanjang kerjayanya, beliau telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan, antaranya meraih podium di Monaco pada tahun 2015 dalam Formula Renault 3.5, muncul sebagai naib juara dalam British Formula 3 International Series, serta mencatat kemenangan dalam FIA World Endurance Championship (WEC) bersama pasukan Jackie Chan DC Racing.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pelumba Pembangunan (Development Driver) bagi pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team selama empat tahun, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan keupayaannya di peringkat tertinggi sukan permotoran dunia.
Dengan pengalaman luas serta pendedahan di arena antarabangsa, Jazeman diyakini mampu menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh pengurusan kewangan MAM, di samping memperkasa hala tuju strategik organisasi ke arah yang lebih progresif dan mampan.
Pelantikan ini turut mencerminkan komitmen berterusan MAM dalam memperkukuhkan barisan kepimpinan dengan gabungan pengalaman industri serta perspektif baharu, selaras dengan usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.





Add Comment