
LIGA PUTERI 2026 telah dilancarkan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini, menandakan satu detik penting dalam landskap pembangunan bola sepak wanita di Malaysia serta komitmen berterusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memajukan sukan ini di peringkat akar umbi.
Majlis pelancaran tersebut menghimpunkan tetamu kehormat, pihak berkepentingan, pengurus pasukan, jurulatih, pemain serta rakan strategik yang berkongsi aspirasi sama untuk mengangkat martabat bola sepak wanita ke tahap yang lebih tinggi.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Liga Puteri telah menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.

Bermula sebagai kejohanan berbentuk karnival yang melibatkan lapan pasukan, ia berkembang menjadi liga berstruktur dengan sembilan pasukan pada tahun 2024, sebelum melonjak kepada 26 pasukan pada tahun 2025, mencerminkan peningkatan minat dan penyertaan yang ketara dalam kalangan bakat muda wanita.
Bagi musim 2026, liga ini terus diperkasakan dengan pengenalan dua divisyen iaitu Divisyen Elite dan Divisyen 1, lengkap dengan sistem kenaikan dan penyingkiran (promotion & relegation) yang bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap daya saing serta memperkukuhkan lagi pembangunan pemain dan pasukan.
Divisyen Elite 2026 menampilkan pasukan-pasukan termasuk juara bertahan SSS Leopard FC, SSMS Phoenix, Selangor FC, Sime Darby FC, KL Havana FC, Velocity FC, Perak FA serta juara Divisyen 1 2025, Sekolah Sukan Malaysia Pahang.
Sementara itu, Divisyen 1 2026 pula disertai oleh Negeri Sembilan FC, KB Junior Bangi, KL Rangers FC, Selangor SS, Starbright SC, Future FA serta tujuh pasukan baharu iaitu PSV FC, Penang Indian FC, Putrajaya Tigress, BTP Tiger FC, MBS Nilai City FC dan Perlima United FC.

Kesemua 12 pasukan bertanding dalam Divisyen 1 ini dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat kalah mati.
Secara keseluruhan, 20 pasukan akan berentap bermula 19 April hingga 4 Julai 2026 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, dengan setiap pasukan dijadualkan beraksi sekurang-kurangnya lapan perlawanan, memberikan pendedahan kompetitif yang berterusan kepada pemain muda.
Lebih daripada sekadar pertandingan, Liga Puteri terus menekankan nilai-nilai teras seperti kerja berpasukan, hormat, disiplin dan semangat kesukanan dalam membentuk bukan sahaja pemain yang berkualiti, malah individu yang berdaya tahan dan berintegriti.

Sebagai langkah ke hadapan, FAM turut merancang untuk memperkenalkan Liga Bawah 19 Tahun (U19) bagi memperkukuh laluan pembangunan pemain wanita secara lebih tersusun dan mampan.
FAM menyeru seluruh peminat bola sepak tanah air untuk terus memberikan sokongan padu terhadap perkembangan bola sepak wanita di Malaysia.





Add Comment