Olimpik 2020 Semasa

Teh Tarik dan produk makanan sepanjang hayat buat atlet Olimpik 2020


ATLET Malaysia yang menggalas cabaran di Temasya Sukan Olimpik 2020 terus mendapat pengiktirafan dan penghargaan apabila restoran tempatan, Teh Tarik Place mengumumkan pemberian teh tarik dan produk makanan sepanjang hayat kepada mereka.

Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar berkata, pihaknya tidak meragui pengorbanan dan semangat dedikasi ditampilkan barisan atlet.

“Liputan akhbar dan reaksi negatif yang diterima oleh atlet-atlet negara adalah sangat mengecewakan. Kami ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua atlet Malaysia, walaupun ada yang meragui, kami tetap mengakui pengorbanan, semangat dedikasi dan kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet sepanjang Sukan Olimpik ini berjalan,” jelasnya.

Sementara itu,Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin, memaklumkan pihaknya sangat menghormati kesungguhan dan disiplin yang diperlukan untuk menguasainya dan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet negara merupakan pencapaian besar.

“Kecemerlangan adalah sesuatu yang kita semua mampu fahami tetapi atlet-atlet negara kita telah melangkaui jangkaan dan mencapai tahap yang seterusnya.

Kesempurnaan dalam setiap acara adalah satu beban yang berat untuk ditanggung tetapi atlet-atlet lelaki dan wanita muda ini telah menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan, kami ingin menawarkan teh tarik dan produk makanan seumur hidup untuk Olimpian Malaysia kami”.

Teh Tarik Place ialah anak syarikat kepada Craveat International dan juga merupakan rakan francais rasmi untuk rangkaian makanan kasual antarabangsa; TGI Fridays di Malaysia dan di China.

Craveat International juga adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat yang dimiliki oleh Techna-X Berhad; syarikat awam yang tersenarai serta diperdagangkan di dalam Bursa Malaysia sejak tahun 2007 dan memiliki lebih 14 cawangan di seluruh negara dan dua cawangan di Brunei.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: