Basikal Olimpik 2020

“John Beasley bukan hanya seorang jurulatih… selalu bagi ‘flight meal’ pada saya”


Azizulhasni tiba di KLIA pada Isnin.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

SETIAP kejayaan yang dilakar oleh seseorang atlet itu, pastinya ada watak penting di sebalik perjalanan menuju detik kemenangan.

Begitu jugalah yang dilalui jaguh keirin negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang baharu sahaja merangkul pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sepanjang di Tokyo, Azizulhasni atau digelar The Rocket Pocketman ini mempamerkan prestasi ‘all out’ dalam acara kegemarannya itu, dan ternyata hasil usaha kerja keras beberapa tahun kebelakangan ini (selepas Rio 2016) hasilnya  sangat memuaskan biarpun masih belum ada rezeki untuk merangkul pingat emas.

Disebalik kejayaan yang diraikan seluruh peminat sukan tanah air ini, Azizulhasni tidak pernah melupakan siapa meletakkan beliau untuk berada di tempat sekarang. Sudah pasti watak penting adalah jurulatihnya yang telah lama jatuh bangun bersama iaitu John Beasley.

Azizulhasni bersama jurulatih kesayangannya. Foto: Azizul Facebook.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini berkongsi perasaan penghargaannya terhadap Beasley yang telah dianggap lebih daripada seorang jurulatih.

“Terima kasih kepada jurulatih saya John Beasley serta isterinya Vicky Beasley. Watak yang amat penting di sebalik kejayaan saya selama ini. Walaupun lahir sebagai seorang ‘Mat Salleh Aussie’ dan berkulit putih, tetapi jiwa beliau sangat dekat dengan Malaysia.

“Orang luar tidak dapat bayangkan akan pengorbanan beliau untuk saya dan juga sukan lumba basikal negara kita. Teringat zaman muda remaja dahulu, ketika atas kapal terbang John Beasley selalu bagi ‘flight meal’ beliau kepada saya dan katanya dia tidak lapar.

“Saya naif dan percaya bulat-bulat, walhal beliau nak saya tambah berat badan dan makan dengan cukup. Beliau sangatlah di hormati di arena lumba basikal antarabangsa dan juga sentiasa menjadi rebutan negara-negara luar akan tetapi beliau taat dengan Malaysia seolah-olah sudah terkena nasi kangkang orang Melayu.

“John Beasley bukan hanya seorang jurulatih kepada saya, tetapi lebih dari itu,” kongsi Azizulhasni di Facebook rasminya.

Malah Azizulhasni juga turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh individu daalam pasukannya, TeamAzizul.

TeamAzizul. Foto: Azizulhasni Awang

“Terima kasih kepada pasukan saya (TeamAzizul) yang sanggup bersama-sama meredah onak dan duri. Izham Mohammad selaku team manager/coordinator yang berperanan melancarkan banyak urusan belakang tabir supaya saya dapat memberikan tumpuan penuh kepada latihan dan perlumbaan.

“Harnizam Basri selaku pembantu jurulatih banyak membantu dari aspek latihan , kelengkapan perang dan yang hal-hal berkaitan. Mollynica Juanis selalu physio yang memastikan saya berada di tahap kondisi fizikal yang terbaik dan terhindar dari sebarang kecederaan.

“Chee Lee Ming selaku pakar sains sukan yang memberikan bantuan dari sudut sains sukan secara menyeluruh. Semua aspek-aspek sains sukan yang boleh menjadi anjakan paradigma untuk prestasi saya adalah tanggungjawab beliau.”

Selain gandingan mantap TeamAzizul, beliau juga mahu tiga rakannya bersama-sama berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan Shah Firdaus, Fadhil Zonis dan Anis Rosidi yang sentiasa bersama-sama dengan saya ketika senang mahupun susah. Kami sentiasa ‘push each other’ dalam latihan manakala di luar latihan pula kami saling membantu sesama sendiri untuk menuju ke puncak.

Azizulhasni berkongsi gambar bersama Shah Firdaus. Foto: Twitter Azizul.

“‘Iron sharpens iron’, untuk menjadi seorang yang bagus, kita perlu di kelilingi oleh orang-orang yang bagus dan kita kena bersaing sesama sendiri secara positif.

“Untuk membentuk satu legasi yang hebat, kita perlu sama-sama membantu menaikkan orang disekeliling kita dan saya tersangatlah anti dengan mentaliti menjatuhkan orang lain dan sikap ‘akulah paling bagus dalam dunia ni’.

“Saya harap ketiga-tiga nama yang saya sebut ini akan bersama-sama dengan saya di Paris 2024 nanti, 3 tahun lagi,” tulisnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: