Antarabangsa Badminton Basikal Komentar Olahraga Rencana Terkini

ADAKAH KEMARAU EMAS HELSINKI (1952) MELARAT KE PARIS (2024)??


Bicara Otai Sukan: Dato Dr Pekan Ramli

Malaysia (1952) antara 6 negara Asia Tenggara termasuk Myanmar (1948), Kemboja (1956), Laos (1980), Brunei (1988) dan Timor Leste (2004) yang masih lagi belum Berjaya untuk menamatkan kemarau Pingat Emas sejak penyertaan pertama di Sukan Olimpik. Sekaligus mengambarkan bahawa ini kumpulan negara yang belum lagi boleh mendabik dada atau duduk sebaris dengan 5 negara pelopor Pingat Emas Sukan Olimpik dari Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Fillipina.

 

Indonesia muncul negara Asia Tenggara pertama menamatkan kemarau 40 tahun pingat emas di Temasya Sukan Olimpik sejak penyertaan julung kali mereka di Sukan Olimpik Helsinki, Finland pada 1952. Pada Sukan Olimpik Barcelona 1992, legenda badminton dunia Rudy Hartono @ Nio Hap Liang pada waktu itu mencatat sejarah menyumbang pingat emas pertama Indonesia menerusi acara badminton perseorangan. Malah Indonesia juga memperolehi pingat emas ke-duanya menerusi gandingan beregu legenda mereka iaitu Ade Chandra dan Christian Hadinata.

Rudy Hartono lagenda sukan badminton Indonesia yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik

Empat tahun selepas itu, pada ketika saya turut bertugas membuat liputan di Sukan Olimpik, Atlanta 1996, Peninju sensasi Thailand, Somluck Kamsing pula mencetus fenomena apabila menamatkan kemarau 44 tahun negara gajah putih itu dengan mengembirakan seluruh rakyat Thailand setelah merangkul pingat emas pertama menerusi acara tinju ‘featherweight’ lelaki.

 

Duapuluh tahun selepas itu, serentak dua lagi negara Asia Tenggara iaitu Singapura dan Vietnam turut mencatat sejarah sukan negara masing-masing. Singapura menamatkan igauan selama 68 tahun sejak penyertaan pertama di Sukan Olimpik London 1948 apabila memenangi pingat emas oleh perenang Joseph Schooling menerusi acara 100-meter kuak kupu-kupu.

 

Manakala Vietnam yang menyertai Sukan Olimpik sejak Helsinki, Finland 1952 menamatkan kemarau pingat emas selama 64 tahun menerusi Hoang Xuan Vinh menerusi acara 10-meter ‘air pistol” lelaki.

 

Paling mengharukan adalah atlet angkat berat wanita Fillipina yang terperangkap di Malaysia hampir dua tahun sewaktu dilanda wabak Covid-19 dan terpaksa menjalani latihan di garaj kereta sebuah rumah di Melaka. Disebalik tempat latihan yang serba kekurangan, Hidilyn Diaz tetap unggul mencatat sejarah merangkul pingat emas pertama Fillipina di Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2022). Sekaligus menamatkan kemarau 98 tahun sejak penyertaan pertama Fillipina di Olimpik Paris 1924.

Hidilyn Diaz satu satu pemenang pingat emas bagi negara Filipina di Olimpik Tokyo 2020

Sekaligus menyaksikan sehingga kini hanya 5 negara Asia Tenggara berada pada kelas tersendiri menerusi pencapaian tertinggi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, sukan paling berprestij di dunia. Thailand terkehadapan dengan 10 pingat emas (4 tinju, 5 angkat berat, 1 taekwondo), 8 perak dan 17 gangsa. Sejak memenangi pingat emas pertama di Atlanta 1996, mereka tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas kecuali Ketika Sukan Olimpik London 2012. Penyumbang pingat untuk Thailand setakat ini adalah menerusi sukan tinju, angkat berat dan taekwondo.

 

Indonesia pula di kedudukan ke dua di kalangan negara Asia Tenggara dengan 8 pingat emas (semua badminton), 14 perak dan 15 gangsa. Sejak memenangi pingat emas pertama di Barcelona 1992 mereka juga tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas kecuali di Sukan Olimpik London 2012. Penyumbang pingat untuk Indonesia adalah menerusi 4 jenis sukan iaitu badminton, angkat berat, taekwondo dan memanah).

 

Manakala Fillipina negara di kedudukan ke tiga dengan 1 pingat emas (angkat berat), 5 perak dan 8 gangsa. Apakah dengan pencapaian pingat emas pertama di Tokyo 2020 (2022) akan menjadi ‘ibu’ kelahiran pingat emas seterusnya kepada Fillipina di Paris 2024 nanti. Penyumbang pingat untuk Fillipina adalah menerusi tiga jenis sukan iaitu angkat berat, tinju dan renang.

 

Timbul persoalan sehingga kini, bilakah Malaysia akan menamatkan kemarau selama hampir 72 tahun (Paris 2024) untuk merangkul pingat emas bagi menghapuskan badi malang itu sejak hampir-hampir berjaya melakukannya menerusi legenda badminton negara Datuk Lee Cheong Wei (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016) dan Dato’ Azizulhasni Awang (Rio 2016, Tokyo 2020 (2022)).

 

Penyertaan teramai atlet negara ke Sukan Olimpik adalah pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 seramai 62 atlet. Manakala penyertaan paling sedikit atlet negara yang layak menyertai Sukan Olimpik adalah seramai 9 orang sewaktu Seoul 1988. Sehingga kini hanya 5 atlet negara sudah layak ke Paris secara merit iaitu Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Diana Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

 

Walaupun atlet basikal dari program RTG, Dato’ Azizulhasni Awang dan gandingan beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dijangka tidak keciciran ke Paris, kontinjen kali ini adalah antara yang terkecil selepas Seoul 1988. Ini petanda kemerosotan dan ketandusan atlet tahap tinggi yang sedang berlaku kepada sukan negara kita. Semoga kemarau pingat emas di Helsinki sejak 1952 tidak berterusan atau melarat lagi ke Paris 2024 ini.

 

Tamat.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading