Bola Sepak Harimau Malaya Rencana

Pemilik Kelab di Penjara, Pemain juga Melopong!!!


Bicara Otai Sukan: Dato Dr Pekan Ramli

Bekas pemilik kelab bolasepak di penjara, malangnya pegawai dan pemain juga yang melopong akhirnya!!! Hah….bagaimana rasanya sekarang?? Adakah kedua-dua pihak sudah berpuashati?? Atau adakah ujudnya perasaan kesal atau sebaliknya setelah mengetahui bentuk hukuman yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah??

Yang menuntut hutang gaji tidak dibayar (pegawai dan pemain) sepatutnyalah berasa gembira dengan keputusan itu. Namun saya percaya bahawa ini bukan keputusan yang mereka jangkakan dan harapkan dan mahukan sebenar-benarnya.

Ini kerana tindakan membawa kes berhutang ke mahkamah sivil ini merupakan jalan terakhir dan sudah pastilah dengan niat dan harapan tinggi agar bekas pemilik kelab yang bergelar Dato’ Seri itu merasa tergugat dan bekerja keras untuk menjaga nama baiknya dari tercemar dan  membayar kembali hutang tersebut.

Paling tidak tindakan penyelesaian di luar mahkamah akan diminta oleh terdakwa untuk berunding atau ‘negotiate’ agar tidak perlu diputuskan dalam mahkamah.

Malangnya harapan hanya tinggal harapan, dan sehingga tarikh akhir 9 februari lalu yang diberikan oleh mahkamah kepada Dato’ Seri itu, hutang berbaki RM1.5 juta masih lagi ‘kantoi’ untuk dilunaskan.

Maka waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Kumpur beberapa hari selepas itu, sekaligus bolasepak Malaysia mencatat sejarah hitam buat kali pertama apabila seorang bekas pemilik kelab bolasepak dihumban ke penjara Sungai Buloh atas tindakan saman tersebut.

Ibarat ‘Kerbau menanduk, kerbau pergi’.

Maksudnya sesiapa yang bersalah mestilah dihukum setimpal dengan kesalahannya. Malangnya Dato’ Seri itu telah dijatuhkan hukuman penjara hanya untuk 7 hari sahaja jika tidak melangsaikan hutang itu. Hukuman penjara itu boleh juga dielakkan jika hutang itu dibayar sebelum masuk ke penjara.

Ada kenalan yang secara sinis  meminta pandangan saya, penjara 7 hari saja ke?? Namun hanya ini yang mampu saya jawab. Ya, ini keputusan mahkamah, setimpal atau tidak setimpal adalah di luar bidang kuasa kita.

Apa yang saya faham, selepas dijatuhkan hukuman dan dipenjarakan 7 hari, maka bebaslah Dato’ Seri itu nanti dan sudah tidak lagi terikat dengan hutang dunia tersebut.

Maka secara tidak langsung cerita keperitan hidup pegawai dan pemain kelab tersebut yang berjuang menuntut hak mereka sejak 2018 sudah menemui titik penamatnya. Cuma malangnya hutang masih lagi terhutang, tak mungkin boleh dituntut lagi. Episod lain pula yang akan menanti. Siapakah penghuni penjara bekas

pemilik kelab bolasepak lain yang seterusnya????

Apa pun ingatan kita sesama islam kepada Dato’ Seri itu, hutang dunia sudah terlepas, tetapi ingatlah bahawa soal hutang di akhirat tetap perlu diselesaikan juga di dunia ini. Hukum membayar hutang adalah wajib. Ini kerana, hak mereka itu tidak boleh dinafikan melainkan jika mereka menghalalkannya.

Persoalannya, inikah yang kita mahukan berlaku dalam ‘bisnes’ bolasepak di negara kita yang dikatakan sudah memasuki era profesional ini. Cerita pemilik kelab bolasepak berhutang gaji tertunggak dengan pegawai dan pemain ini adalah cerita ‘never ending story’. Berapa ramai lagikah bekas-bekas pemilik kelab bolasepak yang akan dihumban ke penjara

selepas ini???

Mari kita renung sejenak. Bolasepak kita beranjak dari amatur kepada liga bertaraf separuh profesional pada 1989 dan kemudiannya pada 1993 memasuki era profesional sepenuhnya sehingga sekarang. Namun isu tunggakan gajinya semakin parah berlaku.

Wujud juga pelbagai isu lain yang semakin merudum, antaranya pasukan atau kelab bolasepak kurang mendapat sokongan dari pihak swasta, korporat dan pihak berkuasa, tiadanya pemilikan infrastruktur dan fasiliti yang bertaraf tinggi kecuali untuk beberapa pasukan sahaja.

Masalah dalaman pengurusan dan pentadbiran pasukan, kurang penyokong, peraturan liga yang menimbulkan pelbagai

persepsi negatif dan lain-lain. Maka ini memberi petanda-petanda akhir zaman untuk liga bolasepak kita jika tidak diperbetulkan segera.

Paling memalukan, orang lain berhutang, orang lain pula yang membayarnya. Malaysia dibantu oleh Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional Dunia (FifPRO) bersama FIFA Fund For Football Players (FIFA FFP).

Malaysia satu-satunya negara Asia dan di tempat ke 4 antara 10 negara teruk berhutang kepada pegawai dan pemain bolasepak di dunia menerusi 147 kes sejak 2015-2020. Memalukan apabila kita terpaksa menerima bantuan tersebut sebanyak USD456,214.00 (RM1.9 Juta) pada 2022 untuk membantu pemain yang tidak mendapat gajinya.

Setiap pemain dikatakan menerima bantuan Fasa 1 dari FIFA ini antara RM5 ribu hingga RM38 ribu seorang. Tidak dapat dipastikan pegawai dan pemain yang terbabit dengan Dato’ Seri bekas pemilik kelab yang dijatuhkan hukuman penjara itu turut berada dalam senarai bantuan ini.

Kabarnya, masih terdapat 65 kes  tunggakan bayaran gaji pegawai dan pemain bagi tahun 2019 dan 2020 yang pada awalnya berjumlah RM8,694,100.32 tetapi jumlahnya kini dikatakan kurang daripada RM600 ribu.

Kenyataan ini dikeluarkan pada Oktober 2020 yang telah dimajukan ke FIFA untuk pertimbangan. Kes yang menanti selepas ini sudah pasti meningkat termasuklah kes baru bagi tahun-tahun berikutnya dan juga

termasuk kes-kes hutang gaji tertunggak yang berlaku pada musim lalu.

‘Kita jadi ‘Champion di Asia’ dalam kemelut hutang tertunggak kepada pegawai dan pemain bolasepak yang kkononnya sudah lama berada di era profesional. Benarkah kita sudah betul-betul profesional?? Atau hanya berfikir lagak ‘Profesional’ atau ‘Minda Kelas Satu’ tetapi sebenarnya amalan atau praktik kita hanyalah berada pada tahap ‘Minda Kelas Ketiga’.

Apakah ‘precedent case’ yang telah ujud ini tidak menakutkan pemilik-pemilik kelab bolasepak sekarang yang masih terpalit dengan isu hutang tertunggak. Sudah bersediakah mereka menanti untuk dihumban ke penjara nanti. Serikkah atau tidak takutkah kepada yang lain-lain???

Atau apakah eko-sistem bolasepak kita sekarang tidak menakutkan atau mengerikan para ibu-bapa dalam memberi restu kerjaya dalam bolasepak ini untuk anak-anak mereka yang berbakat. Lupakanlah bolasepak, beralihlah kepada kerjaya lain. Akhirnya kita akan ketandusan bakat-bakat hebat dalam sukan ini.

Justeru jangan marah atau kecewa apabila skuad Harimau Malaya nanti akan dipenuhi dengan pemain berdarah warisan yang hanya berdarah Malaysia di jari atau kaki dan tidak pernah berpijak pun di tanah pribumi ini.

Mnakala pemain naturalisasi Harimau Malaya pula nanti datangnya dari anak-anak bekas pemain bolasepak dan bekas pekerja asing yang sudah menawan pelbagai bandar dan negeri di Malaysia

dan sudah banyak menanam ubi dengan kaedah fertigasi hingga melahirkan generasi. Waktu itu sudah terlambat untuk kita melakukan ‘koreksi’.

Persoalannya mengapa hanya liga kita di Asia Tenggara yang teruk terpalit dengan isu hutang begini. Kenapa hanya Malaysia yang berada dalam senarai ‘TopTen’ di Asia ini?? Kenapa bukan Thailand?? Kenapa bukan Indonesia?? Kenapa bukan Vietnam??

Kenapa, Kenapa dan Mengapa?? Kata Liga kita antara yang terhebat di rantau ini?? Apa sebenarnya rahsia mereka??? Jangan sampai kita akhirnya unggul di dunia memintas dan menggantikan Greece , Turkey dan Russia sebagai ‘hero’ dalam isu hutang dalam bolasepak ini nanti.

Tamat


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading