
PERSONA Energy Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mewujudkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan program sukan permotoran bersepadu dalam institusi kejuruteraan terkemuka Malaysia di UTM.
Kerjasama, Program Perantisan Pemindahan Teknologi permotoran Xcelerator (TTAP Xcelerator) ialah platfom pendidikan yang direka khas untuk menyediakan kelayakan mikro kepada bakat kejuruteraan, mempercepatkan laluan mereka ke dunia sukan permotoran yang lebih menarik.
TTAP Xcelerator ialah platfom berstruktur bersama yang direka untuk memberi peluang kepada individu yang bersemangat untuk mendapatkan pensijilan modul yang dipertingkatkan dan diiktiraf, memperkasakan mereka untuk memajukan kerjaya mereka.
Bakat terpilih akan diserapkan terus untuk menimba pengalaman di trek perlumbaan dengan memberikan pendedahan langsung untuk mempelajari kemahiran teknikal dan praktikal daripada jurutera perlumbaan terkenal, principal pasukan dalam sukan permotoran terkemuka serta ketua mekanik berpengalaman.
Naib Canselor UTM, Profesor Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, sukan permotoran adalah bidang yang sangat tinggi permintaan terutamanya dari segi aplikasi teknologi, kejuruteraan kenderaan dan pengurusan pasukan, yang merupakan elemen kritikal dalam pembentukan kumpulan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi dan berkebolehan.
“Program TTAP Xcelerator direka bentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran praktikal dan pengalaman untuk mempercepatkan pembangunan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman peserta”, katanya pada majlis perjanjian MoU yang diadakan di Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dihadiri Pengarah Eksekutif Persona Energy dan Pelumba Antarabangsa Malaysia, Jazeman Jaafar, bersama Profesor Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persona Energy, Jazeman Jaafar memaklumkan sukan permotoran adalah industri yang memerlukan komitmen penuh daripada jurutera.
“Dengan kerjasama Persona Energy dan UTM, program TTAP Xcelerator akan mengasah potensi kemahiran dan kepakaran peserta dalam sukan permotoran dan kejuruteraan berprestasi tinggi melalui gabungan perantisan pengajaran dan sukan permotoran.
“Menerusi program ini, hasrat kami adalah untuk memastikan bakat kami bersedia untuk melanjutkan kerjaya mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan pensijilan yang diiktiraf setelah tamat program.
“Dengan pembangunan teknologi tinggi dalam sukan permotoran, ini akan membolehkan kami memanfaatkan pemindahan teknologi yang akan meningkatkan pembangunan untuk industri automotif dan sukan permotoran tempatan.”, ujar Jazeman yang merupakan kata pengasas TTAP dan juga Mentor program TTAP.





Add Comment