Antarabangsa Bola Sepak Terkini

LaLiga 2024 medan terbaik bagi cungkil bakat pemain muda tempatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Kejohanan oleh LALIGA ini juga adalah saingan belia berlesen LALIGA yang pertama di dunia. Ia menampilkan pasukan elit dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Maldives, India, Thailand, Filipina, Taiwan, Brunei, Laos dan lain-lain negara lagi.

DEMAN bola sepak kembali di Malaysia dengan kini adanya acara dwiekstravaganza yang dibawakan oleh Sambill Park: Liga Remaja LALIGA 2024 dan Kejohanan Remaja LALIGA 2024.

Dua acara perdana oleh LALIGA yang mendapat sokongan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini, bakal menjanjikan medan saingan yang terbaik bagi mencungkil bakat pemain muda tempatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sepak mula saingan dimulakan dengan Liga Remaja LALIGA 2024 pada Jun nanti di lokasi berprestij sekitar Kuala Lumpur.

Saingan ala Liga yang mendapat lampu hijau oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini bakal menampilkan 100 pasukan dalam enam kategori umur dengan dua divisyen sekaligus menyajikan gabungan semangat kesukanan serta saingan yang menguji kemahiran tertinggi.

Selepas berakhirnya kemeriahan Liga Remaja LALIGA 2024, Kejohanan Remaja LALIGA 2024 pula bermula.

Dengan memasuki tahun keempatnya, saingan kali ini akan diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bemula 12 sehingga 14 Julai 2024.

Menariknya, kejohanan ini mengetengahkan pelbagai kategori peringkat umur bermula Bawah 8 tahun dan Bawah 21 tahun menjadikannya bukan sahaja saingan sengit tetapi mampu memupuk pertukaran budaya serta jalinan ukhwah persahabatan dikalangan pemain.

Pengarah Urusan Sambill Park, Daniel Wong berkata, pihaknya teruja untuk menampilkan  Liga Remaja LALIGA dan Kejohanan Remaja LALIGA yang menyediakan platform terbaik buat anak muda meraih peluang dan berkembang.

 “Kedua-dua kejohanan atau saingan ini membuktikan komitmen kami dalam mencetuskan kecemerlangan, memupuk semangat kesukanan dan menjalin persahabatan dalam bola sepak remaja,” katanya.

Sementara itu, delegasi LALIGA di Malaysia, Adrián Prol memaklumkan LALIGA komited terhadap pembangunan bola sepak yang mampan di seluruh dunia.

Tambahnya lagi, selepas kejayaan tiga edisi Kejohanan Remaja LALIGA sebelum ini pihaknya berbangga dapat meneruskan dan mengembangkan lagi sokongan kami terhadap bola sepak akar umbi di Malaysia dengan memperkenalkan buat julung kalinya, Liga Remaja LALIGA.

“Meskipun perjalanan masih jauh, projek seumpamanya mampu mencipta keajaiban yang dibawakan LALIGA buat semua peminat bola sepak di Malaysia,” tegasnya.

Kedua-dua kejohanan yang menggariskan kepentingan sukan dalam pembangunan belia dan akar umbi ini sememangnya diperakui LALIGA selain diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Peserta bukan saya bersaing untuk meraih kemenangan tetapi yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Remaja LALIGA turut berpeluang menerima biasiswa kem LALIGA di Madrid.

Kesemua pemain atau peserta Liga Remaja LALIGA 2024 turut menerima sokongan daripada Pediasure selaku penaja rasmi yang menyokong nutrisi dan gaya hidup sihat di kalangan atlet muda.

Liga Remaja LALIGA dan Kejohanan Remaja LALIGA 2024 menjanjikan kemeriahan bola sepak belia dengan menyatupadukan komuniti, memupuk bakat serta menghasilkan kenangan terindah jangka panjang buat pemain serta penyokong bola sepak.


Add Comment

Click here to post a comment