Basikal Terkini

FAM Anjur Bengkel Hala Tuju NFDP 2026

Pembangunan jurulatih juga menjadi keutamaan dalam pembaharuan NFDP

SPORTS Direct Malaysia memperkenalkan kasut bola adidas Predator League dan F50 League SS26 yang akan membawa kepada prestasi bola sepak dan semangat akar umbi serta akan menjadi pilihan peminat-peminat sukan bola sepak.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan Bengkel Hala Tuju NFDP 2026 di MSN, Bukit Jalil.

Program berkenaan telah menghimpunkan peserta-peserta dari persatuan bola sepak negeri dan Jabatan Pendidikan negeri, di mana majlis pembukaannya telah disempurnakan oleh Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee.

Bengkel Hala Tuju NFDP 2026 ini mencerminkan komitmen bersama semua pihak dalam membina masa depan bola sepak Malaysia secara kolektif, berstruktur dan mampan.

Hala tuju NFDP memberi penekanan kepada kualiti pembangunan pemain berbanding kuantiti di samping memperkasakan peranan persatuan bola sepak negeri sebagai rakan strategik utama FAM.

Pendekatan ini bertujuan memastikan pembangunan pemain dilaksanakan secara konsisten, relevan dan mampan di setiap negeri.

Menerusi penstrukturan semula pusat latihan, penyelarasan kurikulum, pelantikan jurulatih oleh persatuan negeri serta pemantauan berpusat oleh FAM, setiap negeri akan diperkasakan untuk membina persekitaran pembangunan yang berkualiti dan berkesan.

Hadir sama pada bengkel berkenaan ialah Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

Kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri juga dianggap menjadi elemen penting bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan akademik dan sukan, khususnya melalui penyertaan sekolah dalam pertandingan serta proses pengesanan bakat.

Selain itu, pembangunan jurulatih juga menjadi keutamaan dalam pembaharuan NFDP di mana FAM akan terus komited menyediakan latihan berterusan, program mentor-mentee serta penyelarasan dengan piawaian AFC dan FIFA bagi memastikan kualiti kejurulatihan yang tinggi dan selaras di seluruh negara.

Pada masa yang sama, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang akan terus diperkasakan sebagai hab pembangunan elit negara dengan fokus kepada pemilihan bakat terbaik, saiz skuad yang lebih berfokus, pendedahan kompetitif melalui liga FAM serta sokongan menyeluruh merangkumi pendidikan, kebajikan dan sains sukan.

Sementara itu, penubuhan Liga Nasional FAM bagi kategori B-12, B-15 dan B-16 pula menjadi platform penting dalam menyediakan pertandingan yang konsisten dan kompetitif serta laluan pembangunan ke peringkat pasukan kebangsaan B-16 dan B-17.

Hala tuju NFDP bukan milik FAM semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama demi memperkasakan lagi bola sepak Malaysia.

Melalui kerjasama erat antara semua pihak dan komitmen yang berterusan, FAM, persatuan negeri dan rakan strategik akan bergerak sebagai satu pasukan, satu ekosistem dan satu hala tuju yang sama demi melahirkan generasi pemain yang berprestasi tinggi, berdisiplin, berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading