Antarabangsa Golf Terkini

TBGA Terus Lahirkan Juara, Kukuh Sebagai Kuasa Baharu Pembangunan Golf Remaja

Langkah strategik turut diambil apabila TBGA menjalin kerjasama dengan AirAsia Brand Co

TUNAS Bestari Golf Academy (TBGA) terus membuktikan statusnya sebagai antara institusi pembangunan golf remaja paling berpengaruh di negara ini apabila konsisten melahirkan bakat berprestasi tinggi di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Ditubuhkan pada 2015 di bawah naungan TSM Charity Golf Foundation, TBGA bermula sebagai inisiatif akar umbi dengan satu misi jelas – meruntuhkan kekangan kewangan yang sering menjadi penghalang kepada bakat muda, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, untuk mendapatkan latihan golf profesional.

Kini, selepas sedekad, akademi itu berkembang menjadi pusat latihan berprestasi tinggi yang disegani.

“Sepanjang 10 tahun lalu, kami membimbing pelajar berusia sembilan hingga 17 tahun dengan pendekatan latihan menyeluruh di bawah Pengarah Program, Fergal McGeown serta jurulatih berpengalaman, Stewart Ginn,” menurut kenyataan TBGA.

Hasilnya mula dituai secara konsisten. Pada 2024, TBGA mencatat sejarah tersendiri apabila pelajarnya menyapu bersih kemenangan dalam setiap kategori umur di Kejohanan MSSM Perempuan – satu pencapaian luar biasa yang mengukuhkan reputasi akademi itu sebagai ‘kilang juara’ golf remaja negara.

Antara nama yang semakin menyerlah ialah Nur Batrisyia Balqis, Ezekiel Riz Hafi Suzearitz dan Nur Diana Syafiqah, yang diraikan dalam satu majlis khas di Kelab Golf Tasik Puteri, baru-baru ini. Turut hadir memeriahkan acara ialah pengasas TBGA, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Pengerusi, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim.

Selain McGeown dan Ginn, TBGA turut diperkuat dengan kehadiran jurulatih muda meningkat naik, Zulaikha Nasser dan Afif Fathi, sekali gus memperkukuh barisan teknikal akademi itu.

Langkah strategik turut diambil apabila TBGA menjalin kerjasama dengan AirAsia Brand Co. pada November 2023 menerusi inisiatif AllStars ‘Dare to Dream’, yang membuka lebih banyak peluang pendedahan dan sokongan kepada pemain muda.

Lebih daripada sekadar membentuk juara di padang, misi utama TBGA adalah menyediakan laluan kukuh ke arah biasiswa universiti di Amerika Syarikat, memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam golf kompetitif, malah turut unggul dalam akademik.

Dengan asas kukuh, sistem latihan profesional dan jaringan strategik yang semakin meluas, TBGA kini dilihat sebagai antara tonggak penting dalam membentuk masa depan golf Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading