Oleh: JJFIRDAUS
NIAT murni atlet lontar lembing Poland untuk membantu menanggung kos pembedahan seorang bayi dibalas semula dengan kebaikan.
Maria Andrejczyk telah melelong pingat perak Olimpik yang dimenanginya dengan harga US$125,000 (RM530,000) sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga bayi itu.
Atlet berusia 25 tahun itu membuat hantaran di laman Facebook beliau Rabu lalu selepas terlihat akan satu usaha pengumpulan dana untuk membantu kos perubatan bayi berusia lapan bulan, Miloszek Malysa yang mengalami masalah jantung yang serius.
“Saya hanya memerlukan masa yang singkat untuk membuat keputusan, ini adalah kali pertama saya menyertai kempen pengumpulan dana dan saya yakin ianya pilihan yang tepat.” tulis beliau di Facebook.
“Bayi ini mempunyai masalah jantung yang serius dan perlukan bantuan untuk pembedahan. Mereka sudah berjaya mengumpul separuh dari jumlah dana dan saya juga membuat keputusan untuk membantu dengan melelong pingat perak Olimpik saya.
Jumlah kos keseluruhan yang diperlukan Malysa adalah kira-kira US$383,421.00 (RM1.6 juta) dengan dana yang diperlukan adalah untuk kos pembedahan yang bakal dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Stanford di Amerika Syarikat dan juga kos perjalanan dan sara diri keluarga.

Niat murni Maria akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan menerusi laman Facebook dan Instagramnya bahawa dia berjaya melelong pingatnya untuk jumlah US$125,000 (RM530,000) kepada rangkaian pasaraya Poland, Zabka.
Maria sendiri yang pernah didiagnos dengan kanser tulang pada 2018 berkata: “Saya berbesar hati untuk memberikan kamu pingat ini, yang mana ianya memberikan saya simbol kesusahan, keyakinan dan mengejar mimpi walaupun ditimpa pelbagai masalah dan saya juga berharap ianya akan memberi simbol kehidupan buat kamu yang kita perjuangkan bersama-sama”.
Pasaraya Zabka dalam satu kenyataan berasingan di Facebook pula menyatakan mereka akan memulangkan semula pingat yang dimenangi Maria kerana terkesan dengan kebaikan hati yang ditunjukkkan atlet itu.
“Kami sangat terkesan dengan tindakan yang indah dan mulia dari atlet Olimpik kami ini. Oleh itu kami membuat keputusan untuk sama-sama membantunya dalam kempen pengumpulan dana ini demi kepentingan Miloszek.”
“Kami juga telah bersetuju agar pingat perak yang dimenangi beliau ketika Temasya Tokyo kekal bersama beliau kerana kemuliaan hati beliau.”
Maria Andrejczyk berjaya memenangi pingat perak dalam acara rejam lembing di Tokyo selepas terlepas peluang memenangi pingat pada Temasya Rio 2016 dengan hanya dua sentimeter.
Semoga niat murni yang ditampilkan oleh atlet ini berjaya membuka mata banyak pihak dalam usaha membantu mereka yang lebih memerlukan. Syabas Maria.
Add Comment