Komentar

‘Arigato Tokyo, Bonjour Paris’


Foto: Olympics

Oleh: JJFIRDAUS

TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya pada Ahad sekaligus mencipta sejarah sebagai sukan norma baharu yang berjaya dijalankan dengan baik dan selamat.

Ditambah pula semangat kesukanan para atlet yang ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung dengan pelbagai keputusan di luar jangkaan walaupun terpaksa beraksi tanpa kehadiran penonton.

Venue-venue acara dilihat sedikit hambar kerana dilangsungkan secara tertutup namun ianya tetap meriah disaksikan oleh penonton di seluruh dunia menerusi siaran langsung di pelbagai platform tradisional mahupun atas talian.

 

Amerika Syarikat berjaya menjadi juara dengan 39 pingat emas mengatasi China di tangga kedua dengan 38 emas manakala tuan rumah Jepun berbangga dengan kutipan 27 pingat emas menjadikan kutipan terbaik mereka dalam penglibatan sukan olimpik mereka.

Kontinjen Asean juga mencatatkan beberapa keputusan membanggakan apabila Filipina berjaya mendapat emas sulung menerusi Hidilyn Diaz dari acara angkat berat manakala Greysia Polii dan Apriyani Rahayu menenangi emas acara beregu wanita dalam sukan badminton.

Nasib berbeza pula menimpa kontinjen negara apabila gagal mencapai sasaran tiga pingat apabila hanya berjaya meraih dua pingat dengan satu gangsa menerusi badminton dan satu perak menerusi acara keirin basikan trek.

Kegagalan skuad terjun dan beberapa atlet yang beraksi di bawah tahap sebenar menyaksikan Malaysia sekali lagi kempunan untuk mendapatkan pingat emas sulung dalam temasya olimpik.

Pandelela Rinong gagal meraih sebarang pingat dalam dua acara yang disertai.

Persoalan yang sering dibincangkan di media sosial adalah sampai bila Malaysia mahu menghantar atlet-atlet sebegini yang langsung tidak membantu negara dalam pungutan pingat.

Ketika atlet-atlet negara lain berlumba untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik, berbeza pula dengan atlet kita yang bertanding di olimpik hanya sekadar mahu menambah pengalaman.

Sepatutnya medan olimpik ini adalah medan terakhir setiap atlet negara untuk memburu pingat selepas dibantu dengan pengalaman yang diperolehi menerusi kejohanan-kejohanan antarabangsa yang lain dan bukannya menjadikan olimpik sebagai medan ujian mahupun menimba pengalaman.

Semua pihak berwajib yang terlibat dalam pembangunan sukan di Malaysia perlu mengkaji tentang perkara ini kerana kita tidak mahu lagi melihat atlet kebangsaan hanya ke Olimpik untuk kepuasan diri sendiri demi mencipta nama sebagai Olimpian.

Cukuplah cerita di Tokyo. Kini kita masih ada masa untuk melihat kembali semua SOP berkaitan pemilihan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024. Jadikan Tokyo sebagai pengalaman dan jangan ulangi kesilapan yang sama.

Buat para atlet, tahniah kerana anda berjaya membawa cabaran negara di Sukan Olimpik. Bagi yang berjaya meraih pingat, syabas diucapkan. Kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), masih banyak yang perlu diperbaiki. Oleh itu, lihatlah sendiri di mana silapnya dan cuba dengar keluhan para penyokong sukan negara. Fikir-fikirkanlah.

Arigato Tokyo, tahniah kerana berjaya menganjurkan Sukan Olimpik kali ini dan Bonjour Paris. Jumpa anda di tahun 2024!


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading