Komentar Olimpik 2020

Kontinjen Asean mulakan cabaran di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn (kanan) mengharapkan pingat emas dalam acara tinju. Foto: Bangkok Post

Oleh: JJFIRDAUS

SERAMAI 173 atlet dari rantau Asia Tenggara bakal bertarung merebut pingat dalam Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dibuka secara rasminya pada malam semalam.

Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 membuka tirai hari ini, 23 Julai – 8 Ogos setelah tertangguh setahun akibat Covid-19.

Apa yang baharu, temasya kali ini pberlangsung tanpa kehadiran penonton sekaligus menjejaskan kerancakan temasya sukan terbesar dunia ini.

Negara Asia Tenggara bukanlah asing dalam memenangi pingat emas Olimpik apabila 18 pingat berjaya dibawa pulang dengan kontinjen Thailand mencatat rekod dengan sembilan pingat emas diikuti Indonesia, tujuh pingat emas manakala masing-masing satu untuk Vietnam dan Singapura.

Malaysia meletakkan harapan pingat emas buat pelumba keirin negara, Azizulhasni.

Negara Thailand menyasarkan tiga pingat emas menerusi acara golf, tinju dan angkat berat. Jika berjaya menepati sasaran ianya akan memadam rekod dua pingat emas yang dibawa pulang ketika edisi di Rio pada 2016.

Indonesia pula tidak menyasarkan sebarang pingat emas tetapi harapan tetap disandarkan kepada skuad badminton mereka yang sebelum ini berjaya membawa pulang kesemua tujuh pingat emas dalam sejarah Indonesia di Sukan Olimpik.

Malaysia pula menyasarkan membawa pulang tiga pingat dengan satunya pingat emas.

Cabaran memenangi pingat emas pertama dalam sejarah Malaysia ini digalas oleh pelumba trek, Datuk Azizul Hasni Awang, gandingan penerjun Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee serta juara Kejohanan All England, Lee Zi Jia dalam sukan badminton.

Selepas mengejutkan ramai pihak dengan pingat emas pertama menerusi Joseph Schooling, Singapura tidak meletakkan sebarang sasaran pingat emas untuk temasya kali ini tetapi Schooling pastinya ingin mempertahankan pingat emas di Tokyo.

Schooling dijangka pertahan pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo.

Dua atlet angkat berat diletakkan harapan untuk membawa pulang pingat emas buat Vietnam menerusi Thach Kim Tuan dalam kategori lelaki 61kg dan Hoang Thi Duyen dalam kategori wanita 59kg.

Filipina juga meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi Hidilyn Diaz dari acara angkat berat wanita ataupun menerusi acara tinju yang banyak memberi pungutan pingat kepada kontinjen Filipina pada sejak menyertai Sukan Olimpik pada 1924.

Brunei Darussalam diwakili dua atlet dari acara balapan dan renang apabila Mohd Firdaus Nor Ar Rashid bakal berentap dalam kategori larian 200 meter lelaki manakala Muhammad Isa Ahmad bakal membawa cabaran Brunei dalam acara renang 100 meter kuak dada.

Selamat maju jaya diucapkan kepada semua atlet Asean yang bakal membawa cabaran dan nama negara masing-masing.

Tahniah diucapkan kepada semua kerana berjaya layak ke olimpik meskipun berdepan kesukaran dalam latihan ekoran penularan pandemik Covid-19.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: