Badminton Komentar

Apa hala tuju badminton selepas Tokyo 2020?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Satu pingat dari badminton dari pasukan beregu lelaki. Foto: MSN

SATU pingat gangsa untuk acara badminton Sukan Olimpik Tokyo berbanding tiga perak di Rio de Janeira 2016, sememangnya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Bagi penulis Cakap Sukan, gangsa sumbangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik itu sebenarnya adalah penyelamat ‘maruah’ bukan sahaja kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malah, memberi kelegaan kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta chef-de-mission yang juga legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bukan menidakkan kemampuan Aaron-Wooi Yik, kerana bagi penulis ia tetap dianggap baik kerana ini adalah penampilan pertama mereka di temasya sukan terbesar dunia itu.

Norza bersama pemain-pemain badminton sebelum ke Tokyo 2020. Foto: BAM

Malah, bagi empat pemain lain, Lee Zii Jia, Soniia Cheah dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, mereka juga adalah muka baru di Sukan Olimpik manakala ia adalah penampilan ketiga buat beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Bagi muka-muka baru Sukan Olimpik ini, persembahan yang diberikan mereka boleh dibanggakan dan pengalaman ini pastinya penting untuk bekalan di masa depan.

Namun ia sememangnya mengecewakan bagi gandingan veteran yang juga pemenang pingat perak di Rio, Peng Soon-Liu Ying yang gagal memenangi sebarang perlawanan dalam kumpulan mereka.

Sebenarnya, selepas tiga perak yang dimenangi di Rio menerusi Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki dan Peng Soon-Liu Ying, pastinya harapan peminat mahukan kejayaan lebih besar.

Pasangan beregu campuran tersingkir peringkat awal.

Malah, kejayaan Zii Jia menjuarai All England, Mac lalu menyemarakkan harapan BAM serta peminat untuk mencari pingat emas yang tercari-cari oleh kontijen negara di pentas Olimpik.

Penulis tidak menyalahkan harapan seperti itu, sesuai dengan moto lama Olimpik itu sendiri iaitu Citius, Altius, Fortius (faster, higher, stronger) yang jelas bermatlamatkan peningkatan prestasi.

Kita tinggalkan Tokyo. Apa hala tuju badminton negara selepas ini?

Apa peluang kita di Paris 2024? Apakah BAM akan sekadar terus mengharapkan Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia bertambah matang untuk mendukung cabaran di situ, seperti sebelum ini yang terlalu bergantung kepada Chong Wei.

Penulis berharap BAM akan mengubah pendekatan sedia ada yang terlalu bergantung kepada pemain tertentu sahaja. Setakat ini, sudah jelas Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik akan terus menjadi modal mereka.

Pendekatan ’old school’ ini perlu dihakis segera kerana ia seperti menggambarkan BAM ketiadaan pemain lain atau mengharapkan muncul juara baru secara tidak sengaja (lebih ketara untuk wanita).

Lee Zii Jia tewas aksi suku akhir. Foto: MSN

Sudah masanya untuk BAM mempunyai sekurang-kurangnya satu pasukan iaitu tiga perseorangan dan dua beregu yang setara kemampuan mereka bagi skuad lelaki dan wanita – dalam barisan senior dan remaja.

Ini sama seperti skuad yang menjuarai Piala Thomas 1992 apabila negara memiliki Datuk Rashid Sidek, Foo Kok Keong yang sama handal serta gandingan Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit-Soo Beng KIang.

Andai sistem sebegini mampu diadakan, penulis percaya pemain negara mampu tampil lebih mantap di setiap Sukan Olimpik.

Kenapa penulis kata demikian? Ini kerana pemain akan dapat menimba pengalaman beraksi di bawah tekanan lebih awal di Piala Thomas/Uber yang diadakan secara dwitahunan., termasuk di tahun yang sama temasya Olimpik diadakan.

Kesimpulannya, masih banyak yang perlu dilakukan BAM dalam merealisasikan impian menggapai pingat emas Olimpik atau terpaksa berputih mata melihat ia disumbangkan oleh atlet daripada sukan lain.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: