Oleh: JJFIRDAUS
KEJAYAAN pelumba trek negara, Muhammad Azizulhasni Awang memenangi pingat perak dalam acara Keirin mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Perdana Menteri mengucapkan syabas dan tahniah buat Datuk Azizulhasni Awang kerana berjaya menghadiahkan pingat buat kontinjen negara.
“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan”.
“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan.

“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara”.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mempamerkan aksi berani dengan semangat ‘Demi Malaysia’ untuk terus berjuang walaupun ditimpa kemalangan.
Add Comment