Olimpik 2020

Bola Sepak: Tiga pasukan berebut ke suku akhir


Perancis menang pada aksi kedua kumpulan.

PASUKAN  Perancis, Honduras dan Argentina kembali mencerahkan peluang mereka untuk layak ke peringkat suku akhir acara bola sepak lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah masing-masing mencatatkan kemenangan dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Dalam Kumpulan A, dua gol dalam lima minit terakhir perlawanan menyaksikan Perancis bangkit tiga kali setelah ketinggalan kepada Afrika Selatan untuk menang dengan keputusan 4-3.

Hatrik dari ketua pasukan Andre-Pierre Gignac memastikan tiga mata menjadi milik Perancis sekaligus menghidupkan kembali peluang ke suku akhir. Dengan kekalahan ini, Afrika Selatan tersingkir dari perebutan tempat ke peringkat kalah mati.

Honduras juga berjaya mencatat kemenangan apabila menumpaskan New Zealand 3-2. Gol pada minit ke-87 oleh Rigoberto Rivas membantu Honduras mengutip tiga mata pertama untuk temasya kali ini.

Argentina yang dikejutkan Australia pada perlawanan pembukaan kembali bangkit apabila berjaya membenam cabaran Mesir sekaligus naik ke tangga kedua Kumpulan C dan bakal berhadapan Sepanyol untuk menentukan siapa bakal layak ke suku akhir.

Pasukan Argentina

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang, Brazil gagal mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya apabila diikat Ivory Coast 0-0. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi empat mata dalam Kumpulan D.

Empat lagi perlawanan akan berlangsung pada sebelah malam dengan Australia bertemu Sepanyol dalam Kumpulan C dan Jepun berhadapan cabaran Mexico untuk perlawanan Kumpulan A.

Perlawanan kedua Kumpulan B bakal berlangsung di antara Romania dan Korea Selatan sebelum Jerman akan melayan Arab Saudi dalam perlawanan Kumpulan D.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: