
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin barisan atlet terjun boleh melakukan aksi luar biasa pada temasya di Sukan Olimpik 2020.
Tegasnya, penerjun seperti Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee pernah memenangi pingat di persada antarabangsa termasuk di kejohanan dunia.
“Hari ini saya membuat tinjaun ke pusat akuatik untuk bertemu dengan atlet-atlet terjun yang akan berlepas ke Tokyo bersama Datuk Lee Chong Wei selaku Chef de Mission (CDM).
“Ini titipan terakhir untuk saya maklumkan kepada kelima-lima penerjun negara. Kesemuanya saya lihat mereka dalam kesiapsiagaan, semangat yang tinggi. Justeru, saya meletakan harapan dan sandaran untuk mereka lakukan terbaik.
“Ada dalam kalangan mereka tiga sudah memenangi pingat seperti Jun Hoong dan Pandelela sudah meraih pingat di temasya itu. Ada juga berada di podium di kejohanan dunia seperti Mun Yee. Mereka bukanlah kali pertama di Olimpik.
“Jadi saya fikir bahawa penanda aras perlu letakan ketika ini adalah perlu lakukan lebih baik berbanding apa yang telah mereka capai sebelum ini. Itulah harapan yang saya letakkan kepada mereka.
“Yang selebihnya kita serahkan kepada mereka mana tahu dengan semangat juang tinggi mereka dapat mencipta sejarah sendiri dan juga negara. Kita doakan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.
Tiga jenis sukan iaitu badminton, berbasikal dan terjun kekal menjadi sandaran Malaysia untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula 23 Julai ini.
Pada Sukan Olimpik Rio 2016, Malaysia meraih perak dalan acara 10m terjun seirama menerusi Jun Hoong dan Pandelela manakala pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012 menerusi Pandelela dalam acara 10m platform.





Add Comment