Badminton Bola Sepak Gaya Hidup Rencana

Selamat kembali Industri Sukan Malaysia!


Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua pembaca Cakap Sukan. Sudah pasti ada yang pulang ke kampung halaman menyambut Awal Ramadan hujung minggu lalu selepas 2 tahun tidak dapat berbuat demikian akibat sekatan yang dikenakan dek oleh kerana COVID-19. Saya doakan kalian dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan.

Tahun 2020 menyaksikan seluruh dunia dihentam dengan pandemik COVID-19. Siapa sangka virus tersebut telah mengganas sehingga meragut jutaan nyawa seluruh dunia dan puluhan ribu di Malaysia.

COVID-19 telah memaksa sektor-sektor penting ditutup termasuklah sektor sukan yang paling teruk sekali terjejas. Pertandingan-pertandingan didalam dan diluar negara terpaksa dibatalkan, kem latihan dihentikan, tiada sentuhan fizikal dibenarkan, dan operator pusat sukan terpaksa menggigit jari tidak dapat meneruskan operasi perniagaan.

Kredit: MFL

Sekejap buka sekejap diarah tutup, tidak boleh berlatih secara berkumpulan dan bermacam lagi sekatan dikenakan sehinggalah akhirnya kita kembali semula kepada situasi yang normal. Itulah cabaran yang dihadapi oleh penggiat di dalam industri sukan sepanjang tempoh dua tahun yang lalu.

Perjuangan tanpa henti oleh sesetengah pihak di dalam menghidupkan kembali industri sukan di negara kita berbaloi. Kita memulakan 2022 dengan Malaysia telah berjaya menganjurkan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dan muncul juara buat kali pertama pada kejohanan yang berlangsung di Setia Alam,Selangor pada Februari lalu. Ia merupakan kejohanan antarabangsa pertama diadakan pasca COVID-19.

Pusat komersil sukan seperti gelanggang badminton, futsal, padang bola sepak, gimnasium, pusat akuatik juga kembali meriah dengan kehadiran orang ramai yang aktif bersukan setiap hari. Ia adalah satu ekosistem yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Tuntasnya, sukan adalah satu industri. Ia bukanlah sekadar aktiviti masa senggang seperti dulu kala. Kini, revolusi sukan di Malaysia telah membuktikan bahawa sukan berupaya memacu ekonomi negara. Industri sukan telah berupaya menjana hampir RM4 bilion kepada ekonomi negara pada 2019 selain dapat mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan.

Komponen industri sukan meliputi operator pusat sukan, penjual barangan pakaian sukan, penjual produk nutrisi sukan, pelancongan sukan, perubatan sukan dan banyak lagi.

Dua tahun mereka bergolok bergadai demi survival mereka sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi mereka akibat sekatan yang dikenakan. Syukur, kini semuanya telah kembali pulih.

Saya gembira apabila melihat padang bola sepak kembali penuh, gelanggang badminton kembali riuh, dan terkini, tiada lagi had kapasiti penyokong di stadium. Pengumuman terbaru ini sudah pasti melegakan dan memberi kegembiraan buat para peminat yang sudah lama tidak ke stadium memberi sorakan.

Kalendar sukan negara juga dijangka sibuk dengan Badminton Malaysia Open dan Malaysia Masters yang akan berlangsung penghujung Jun dan awal Julai nanti. Tak lupa juga, ekor harimau sejati bakal mengaum di rumah Harimau Malaya pada Jun depan bagi Pusingan Kelayakan Piala Asia.

Atlet negara juga berdepan dengan jadual yang padat. Tiga temasya sukan besar iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia bakal mereka hadapi. Saya berharap, atlet negara pulang dengan kejayaan cemerlang sekaligus menutup episod duka sukan negara pada tahun lalu.

Saya akhiri penulisan saya dengan serangkap pantun.

Dayung sudah di tangan,
Perahu sudah di air,
Tiada masa untuk berangan,
Berjuanglah demi tanah air.

Akhir kata, selamat kembali industri sukan Malaysia!

Christopher Raj
Penganalisis Sukan Negara,
CEO ShekhinahPR,
Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi & Perhubungan Awam FAM


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading