Bola Sepak Terkini

Hanya enam pasukan penuhi keperluan pematuhan FFP MFL

Mesyuarat ini merupakan penyerahan “In-Season” terakhir bagi musim 2025-2026

JAWATANKUASA  First Instance Body (FIB) Financial Fair Play (FFP) Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan Mesyuarat Ringkasan Penyerahan dokumentasi “In-Season” Ke-5 bagi musim 2025-2026 bagi menilai tahap pematuhan kewangan setakat April 2026 bagi kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Untuk makluman, bagi tunggakan pembayaran di bawah proses Pelesenan Kelab untuk musim 2026–2027 adalah sehingga 31 Disember 2025, berdasarkan kitaran Pelesenan Kelab 2025–2026. Manakala tarikh akhir bagi penilaian penyerahan kelima “In-season” FFP adalah sehingga 30 April 2026.

Pelesenan Kelab dan FFP merupakan dua kerangka peraturan yang berbeza, dengan mekanisme, kriteria penilaian, tempoh pelaporan serta tarikh akhir penyerahan yang berbeza.

Oleh yang demikian, pematuhan terhadap satu kerangka tidak secara automatik di anggap sebagai pematuhan terhadap kerangka yang lain, dan kelab dikehendaki memenuhi keperluan kedua-dua proses tersebut secara berasingan.

Pengerusi, First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Bin Sheikh Mohd Sharif berkata, hasil penelitian terhadap dokumen dan maklumat yang dikemukakan, jawatankuasa mendapati enam kelab iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC telah memenuhi keperluan pematuhan FFP MFL sepenuhnya tanpa sebarang tunggakan gaji kepada pekerja dan tunggakan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Sementara empat kelab Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC didapati tidak mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja, namun masih mempunyai tunggakan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Sehubungan itu, peringatan rasmi akan dihantar kepada keempat – empat kelab berkenaan bagi memastikan tunggakan tersebut diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.

Tambahnya lagi,  Jawatankuasa turut mengambil maklum mengenai kedudukan Kuala Lumpur City FC yang mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja serta tunggakan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan. Kelab ini akan dipantau secara lebih dekat bagi memastikan langkah-langkah penyelesaian yang sewajarnya dilaksanakan.

“Kelab juga diberikan tempoh empat belas (14) hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung tunggakan setakat April 2026.”Jawatankuasa mendapati dua kelab PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja dan tunggakan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan setakat April 2026.

“Kedua – dua kelab berkenaan turut dikenakan denda masing-masing sebanyak RM10,000 kerana melanggar Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen lengkap bagi Penyerahan “In-Season” Ke-5.

“Kedua-dua kelab itu turut diberikan tempoh empat belas (14) hari untuk melengkapkan penyerahan dokumen yang tertunggak dan mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung tunggakan,” jelasnya.

Mesyuarat ini merupakan penyerahan “In-Season” terakhir bagi musim 2025-2026. Dengan berakhirnya proses tersebut, kelab-kelab akan memulakan fasa seterusnya iaitu penyerahan bajet bagi musim 2026-2027 dan deklarasi setakat Jun 2026.

FIB dan FFP MFL akan terus komited dalam memantau kedudukan kewangan kelab-kelab bagi memastikan amalan tadbir urus kewangan yang lebih mampan, bertanggungjawab dan selaras dengan objektif pembangunan bola sepak profesional Malaysia.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading