Bola Sepak

Kalau nak bantu bola sepak Malaysia… ini pesanan TMJ kepada Teong Kim


 

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Laporan khas dari Dubai, UAE oleh SUBKHI SUDARJI

SEJAK skuad Harimau Malaya gagal mempamerkan aksi terbaik di pentas Piala AFF Suzuki 2020 bulan lalu, rata-rata peminat bola sepak negara mahu melihat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim berada dalam sistem pengurusan bola sepak negara.

Realitinya ia tidak akan berlaku kerana ia berkaitan dengan beberapa perkara.

Mengulas lanjut mengenai permintaan peminat-peminat bola sepak tanah air, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengaitkan Teong Kim dengan nilai gajinya.

“Untuk sistem pembangunan boleh… tapi nak beri gaji berapa? Masa dia nak kerja dengan saya, dia minta 70-80 ribu euro (RM330-380 ribu) sebulan dan nak bawa 2,3 orang pembantu. Takkan saya nak bayar sampai begitu. Saya punya players dan ketua jurulatih pun tak sebanyak itu.

“Bagi saya itu banyak sangat. Tetapi saya tak salahkan dia kerana setiap orang ada hak minta… tapi ianya tak munasabah bagi saya. Tetapi kalau betul dia nak buat pembangunanan, sayang dengan bola sepak Malaysia… suruhlah dia buat dengan gaji RM20,000-30,000 sebulan.

“Tetapi kalau minta dia untuk jadi ketua jurulatih kebangsaan, kena tengok CV dia juga… pernahkah dia jadi ketua jurulatih kebangsaan?,” jelas Tunku Ismail secara eksklusif kepada Cakap Sukan.

Teong Kim menjadi pilihan penyokong-penyokong bola sepak tanah air untuk berada dalam sistem bola sepak negara.

Menurut Tunku Ismail, setiap perkara yang dicakap perlulah berdasarkan fakta dan penilaian yang betul.

“Untuk bercakap memang senang, tetapi yang bercakap itu perlu buat penilaian berdasarkan dengan fakta. Nak salahkan orang ni, orang tu… memang senang. Nak buat analisis cakap… memang senang. Tetapi kadang-kadang kita kena pikul tanggungjawab, sedar tempat kita dan buat cadangan harus menilai dengan betul. Tak boleh cakap kosong,” tambahnya.

Sebagai rekod, Teong Kim dipecat sebagai ketua jurulatih Bawah-16 Tahun Negara susulan kegagalan anak buahnya merebut tiket ke Piala Dunia B-17 pada tahun 2018 namun meneruskan tugasnya sebagai Pengarah AMD sehingga kontraknya tamat pada Disember 2019.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: