Basikal

Azizulhasni kongsi ‘dugaan’ tawaran lumayan sepanjang karier


Azizulhasni merangkul perak Sukan Olimpik di Tokyo tahun lalu. Foto: Azizulhasni.

PEMENANG pingat perak Sukan Olimpik 2020,  Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan beberapa kali menolak peluang berlumba di Eropah dan Jepun yang menawarkan keuntungan besar serta kemasyuran, demi komitmennya terhadap negara tercinta.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Azizulhasni memberitahu beliau mendapat tawaran daripada pasukan Professional Drapac (lebuhraya) ketika mula berhijrah ke Melbourne, Australia.

“Siapa tidak kenal pasukan UCI PRO Continential yang pernah di anggotai oleh dua pelumba lebuhraya handalan negara iaitu Adiq Husaini dan Amir Mustafa.

“Pengasas pasukan tersebut iaitu Michael Drapac sendiri yang mengutarakan idea kepada John Beasley untuk meminang saya untuk pasukan beliau sebagai pemecut kerana nampak kebolehan saya di trek dan juga di lebuharaya. Selepas berbincang dengan John Beasley saya akhirnya menolak dengan baik tawaran tersebut,” tulisnya.

Tambah anak kelahiran Terengganu ini, di atas kecemerlangan dan konsistensi di persada antarabangsa dalam acara Keirin tetapi juga kerana corak perlumbaan yang penuh taktikal dan gemar di tonton peminat tegar basikal trek, beliau beberapa kali diberi tawaran oleh Japanese Keirin Association (JKA) untuk berlumba Keirin di sana.

“Penuh dengan tradisi, saya di berikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba Keirin untuk dipilih dan berlumba disana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan disana.

“Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut dengan penuh hormat. Oleh sebab itu mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku. Kenapa saya tolak?.

“Saya juga banyak kali di tawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Six-day track series yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

“Semua ini adalah kerana saya mengutamakan tanggungjawab saya kepada pasukan negara tercinta. Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ianya akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya.

“Akan tetapi ianya akan mengganggu perancangan dan persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara.

“Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada dimana saya telah berada pada hari ini. Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali (giving back) kepada masyarakat dan juga negara tercinta,” kongsinya penuh semangat.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: