OLAHRAGAWAN Kebangsaan 2019/2020 Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal menamatkan era kegemilangannya sebagai pelumba basikal trek selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemenang pingat perak dan gangsa acara keirin dalam dua edisi sebelum ini merancang untuk bersara selepas beraksi di Paris yang akan menjadi penampilan terakhir yang kelimanya.
“Jadi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini merupakan penampilan terakhir saya. Justeru, saya ingin berikan sepenuh perhatian untuk memastikan saya dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita,” ujarnya dalam satu klip video selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang berlangsung Selasa malam.
Azizulhasni,34, yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ turut memohon maaf kerana jadual latihan di Melbourne, Australia menghalangnya untuk menghadiri majlis gilang gemilang itu.
“Untuk pengetahuan semua, saya kini sedang giat menjalani latihan persiapan untuk Sukan Komanwel yang hanya berbaki 128 hari dan Sukan Asia 170 hari saja lagi,” ujarnya.
Add Comment