Antarabangsa • Terkini

Allianz Malaysia Berhad suntik semangat atlet Para Negara


RAKAN kongsi Program Para Majlis Sukan Negara, (MSN) Allianz Malaysia Berhad terus memperkukuh sokongan kepada kontinjen negara menjelang Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun apabila mengadakan kunjungan barisan atlet kebangsaan di Pusat Latihan Kampung Pandan.

Seramai 72 atlet Para akan mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan di Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Nagoya dari 18 hingga 24 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, ucapan terima kasih kepada para atlet atas komitmen mereka terhadap negara dan menyatakan sokongan syarikat kepada atlet yang bakal berlepas ke Nagoya itu.

“Atlet Para kebangsaan kita hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi sebelum berlepas ke Jepun untuk memulakan misi membawa pulang kejayaan buat Malaysia.

“Mereka telah berusaha tanpa mengenal penat lelah demi mengejar kegemilangan dan melakukan banyak pengorbanan dalam persiapan menghadapi Sukan Para Asia ini.

“Allianz Malaysia sentiasa berasa amat bangga dengan atlet Para kita serta pencapaian mereka. Mereka terus melakar kejayaan dan kami yakin mereka akan mempamerkan prestasi terbaik di Jepun nanti.

“Hari ini, kami ingin menzahirkan penghargaan yang mendalam secara peribadi kepada para atlet,” kata Sean selepas menyaksikan sesi latihan dan beramah mesra dengan atlet Para tersebut yang turut sama dihadiri Pengarah Bahagian Para MSN, Shukri Harun.

Sean menyaksikan atlet Para menjalani latihan bersama wakil kanan daripada Allianz Malaysia dan MSN. Mereka menyaksikan atlet daripada sukan badminton, angkat berat, renang dan boccia.

Selain bekerjasama dengan MSN, Allianz Malaysia merupakan penaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain-pemain BAM, serta turut bekerjasama rapat dengan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Di peringkat akar umbi, Allianz Malaysia bekerjasama dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan untuk menyokong generasi baharu bakat badminton menerusi Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC).

Diperkenalkan pada tahun 2022, AJBC merupakan program peringkat kebangsaan yang diadakan merangkumi 10 pusingan, termasuk di Sabah dan Sarawak, bagi memberi peluang kepada pemain muda yang berpotensi untuk bersaing dan mencungkil bakat mereka.

Tanpa sebarang yuran penyertaan, program ini membantu menjadikan sukan badminton kompetitif lebih mudah diakses oleh golongan muda daripada pelbagai latar belakang.

Di peringkat global, Allianz terus menyokong dan berkhidmat sebagai Rakan Kongsi Insurans Seluruh Dunia bagi Gerakan Olimpik dan Paralimpik, di samping menjalin kerjasama dengan organisasi serta pasukan sukan di seluruh dunia.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment