
ATLET berbasikal lebuh raya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor bakal memulakan kayuhan pertamanya dalam satu perlumbaan di bumi Sepanyol Mac ini.
Siti Nur Alia yang melakar sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team di Sepanyol itu memaklumkan dia akan diperkenalkan sebagai pelumba baharu Sabtu ini.
“Alia dengar ada perlumbaan pertama bulan Mac ini. Pasukan akan nilai prestasi saya selama tujuh bulan bersama tujuh peserta lain.
“Seorang sahaja akan diserapkan ke skuad elit mereka sekiranya mencapai prestasi mengagumkan selama tujuh bulan ini,” ujarnya kepada media sebelum berlepas ke Sapanyol di KLIA Rabu malam.
Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan yang berada di kedudukan kelima dunia itu dianggap peluang besar baginya untuk meningkatkan prestasi seterusnya dalam sasaran layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Nur Alia yang pernah menjalani latihan bersama jaguh keirin negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada 2017 dijangka akan kembali ke tanah air seketika pada April atau Mei bagi menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada Jun ini.
Kayuhan Nur Alia dipantau jauh bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) Adam Szabo yang kini melatih pasukan di Sepanyol tersebut telah menghubungi pelumba muda ini untuk memberi peluang mengetengahkan bakatnya.
Add Comment