
ATLET berbasikal lebuh raya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team yang berpengkalan di Sepanyol.
Siti Nur Alia,21, berkata tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan yang berada di kedudukan kelima dunia itu bagaikan mimpi jadi kenyataan yang telah lama diidamkannya.
“Jun lepas saya telah dihubungi oleh Adam Szabo, bekas jurulatih Terengganu Cycling team (TSG) yang kini melatih pasukan Canyon-SRAM Racing Team. Beliau menyatakan minat untuk mengetengahkan bakat saya bersama pasukan mereka.
“Saya mengambil masa sebulan untuk bersetuju selepas memikirkan masa depan dan perkembangan kerjaya dalam arena berbasikal,” jelas Siti Nur Alia pada majlis meraikan kejayaannya ke pasukan profesional tersebut.
Pada majlis itu, Siti Nur Alia yang juga atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu turut menerima sumbangan wang saku RM3,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
“Ini adalah batu loncatan atau permulaan untuk saya mengejar impian yang lebih besar iaitu beraksi di pentas sukan terbesar Olimpik.
“Saya akan membalas pengorbanan dan jasa semua pihak termasuk keluarga, jurulatih dan keluarga besar basikal Terengganu dengan mengharumkan nama negari dan Malaysia di pentas dunia satu hari nanti,” jelasnya.
Siti Nur Alia akan berlepas ke Jerman pada 13 Januari ini sebelum ke Sepanyol.-Bernama
Add Comment