Bola Sepak

Bukan Bojan Hodak… pengganti Cheng Hoe sah dari luar negara


Cheng Hoe meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya Isnin lalu.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

SEJAK beberapa hari lalu, nama Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak menjadi ‘trending’ untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

Rata-rata pemerhati, atau jurulatih tempatan serta peminat-peminat bola sepak tempatan mencadangkan Hodak antara watak paling sesuai untuk mengambil alih tugas utama mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Malah jurulatih berusia 50 tahun itu yang sememangnya sudah sinonim dengan landskap bola sepak tempatan, malah turut dilaporkan bersedia kembali ke skuad negara (selepas menguruskan skuad B-19, 2017-2019) dengan beberapa syarat tertentu.

Namun hakikat sebenarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun mempunyai calon-calon dari luar negara, yang bukannya pengendali sedia ada dalam Liga Malaysia.

“Ramai yang mencadangkan supaya melantik Bojan Hodak untuk menggantikan jurulatih Cheng Hoe, tetapi kami dalam mengenalpasti beberapa jurulatih dari luar negara.

“Antara yang menjadi perhatian adalah jurulatih dari Sepanyol, England, Korea Selatan dan Jepun. Empat negara ini dalam senarai bagi jawatan ini,” jelas sumber terdekat FAM kepada CAKAP SUKAN.

Pengesahan ini menyaksikan spekulasi Hodak sebagai pilihan utama bagi posisi ini hanyalah perkongsian di kalangan peminat-peminat bola sepak tanah air sahaja.

Pengumuman rasmi mengenai ketua jurulatih kebangsaan dijangka akan diumumkan Februari ini selepas semua perbincangan diputuskan.

Isnin lalu Cheng Hoe,53, meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

Cheng Hoe, 53, yang mengambil alih Harimau Malaya pada 2018 membuat keputusan meletak jawatan selepas mengambil tanggungjawab atas penyingkiran awal Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020.


Add Comment

Click here to post a comment