Bola Sepak

Teong Kim ucap selamat berjaya, “Kuala Lumpur City kini di tangan orang bijak”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

AKSI final Piala Malaysia edisi 2021 yang bakal berlangsung Selasa ini dianggap penuh nostalgia bukan sahaja kerana sambutan edisi ke-100 tetapi lebih bermakna kepada penyokong-penyokong setia #KLSAMPAIMATI selepas 32 tahun di pentas akhir.

Tempoh yang agak panjang kemarau trofi berprestij ini bagi pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berbanding lawannya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dianggap lebih mendominasi Liga Malaysia selepas era 2015.

Sebelum hilang dari radar Piala Malaysia, pasukan Kuala Lumpur merupakan sebuah pasukan yang digeruni satu ketika dahulu yang menyaksi rekod hatrik trofi juara dijulang pada tahun 1987,1988 dan 1989 ketika ini pasukan di bawah pimpinan Presiden Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

Mengakui era kegemilangan itu, salah seorang pemain yang menjadi watak penting dalam barisan skuad ketika menjulang trofi Piala Malaysia ketika itu adalah pemain tengah Lim Teong Kim yang kini bermastautin di Bayern Munich, Jerman.

Teong Kim (bulatan biru) bersama skuad Kuala Lumpur. Foto: Supporter of Kuala Lumpur 1988. Foto: Suppoters Kuala Lumpur

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkongsi pengalamannya ketika bersama-sama pasukan Kuala Lumpur menjulang trofi bersejarah ini.

“Tahniah kepada pasukan Kuala Lumpur dan jurulatih Bojan Hodak serta barisan kejurulatihan yang membawa pasukan ini mara ke final selepas 32 tahun. Ini adalah satu sejarah panjang, dan Kuala Lumpur sebenarnya dari dulu memang kuat.

“Ketika Tan Sri Elyas (Allahyarham) sebagai presiden Kuala Lumpur, beliau banyak membantu kelab dan membangunkan Kuala Lumpur dengan dikelilingi orang-orang atau penasihat terbaik seperti mendiang Dr Jozef Venglos dan mendiang Mr. Subra (S.Subramaniam). Mereka inilah yang membangun Kuala Lumpur dulu.

“Namun selepas ketiadaan mereka semua, legasi kejayaan Kuala Lumpur tidak dipelihara dan hilang. Saya juga sedih perkembangan pasukan selepas itu,” jelasnya kepada Cakap Sukan.

Namun bekas jurulatih remaja Bayern Munich berusia 58 tahun ini, pasukan Kuala Lumpur sekarang kembali disebut-sebut dengan prestasi baik sepanjang tahun ini, malah mara ke final Piala Malaysia.

Stanley dan Hodak dianggap individu tepat menguruskan pasukan Kuala Lumpur City pada masa ini. Foto: KLCITY FC

“Sekarang boleh lihat KL City di bawah pengurusan Stanley Bernard Stephen Samuel (Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC) yang dilihat kembali di platform yang baik kerana dia mempunyai pengetahun dalam bola sepak dan lebih penting adalah bijak dari segi pentadbiran dalam kelab dengan membeli pemain-pemain import yang baik, di mana keperluan untuk menolong pasukan Kuala Lumpur.

“Kalau orang seperti ini berada dalam semua kelab, tiada campur tangan saya pasti kelab-kelab di Malaysia lebih berjaya.

“Stanley melantik Bojan Hodak sebagai jurulatih dan ianya keputusan tepat kerana boleh dilihat pencapaiannya sebelum ini ketika bersama pasukan Kelantan dan JDT serta pasukan kebangsaan.

“Bojan mempunyai kebolehan untuk membentuk pasukan dengan membawa mereka ke final kerana memahami mentaliti pemain-pemain Malaysia.

“Orang yang tak tahu budaya bola sepak Malaysia memang susah untuk menyesuaikan diri dengan pemain-pemain tempatan sebab pemikiran mereka berlainan kerana budaya. Tetapi Bojan seorang yang bijak yang tahu tentang budaya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Teong Kim berharap kejayaan Kuala Lumpur ini akan menjadi ‘batu loncatan’ untuk terus sukses.

Teong Kim antara pemain yang menjulang trofi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut.

“Kalau pasukan diuruskan oleh orang yang ada pengetahuan, inilah yang berlaku di Kuala Lumpur. Tetapi jika diberi kepada orang yang tak faham bola sepak dan membuat keputusan secara emosi sebaliknya akan berlaku.

“Bola sepak bukan seperti membaca sebuah buku dan terus faham, sebaliknya bola sepak adalah mengenai kemanusiaan di mana ramai jurulatih gagal kerana tidak faham.

“Jadi saya mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Kuala Lumpur pada final nanti. Dalam final, siapa yang ambil risiko dia akan menang,” ujarnya.

KL FC bakal berdepan dengan juara bertahan JDT pada Selasa ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: