Bola Sepak

Pemain KDA FC berhijrah sebab merajuk?


Pemain-pemain KDA FC musim ini. Foto: KDA FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu melihat dan mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan beberapa pemain utamanya yang dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.

Pada era profesional ini, masih ada pemain yang boleh terus kekal bersama pasukan semasanya jika kebajikan mereka terjaga dan persetujuan dapat dicapai bersama.

Menurut jurucakap Kelab Penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri, dia mengakui pasukan tidak boleh menghalang seseorang pemain untuk berhijrah namun perbincangan wajar dilakukan sebelum pemain tersebut melangkah keluar.

“Bila bercakap tentang profesional, semua pihak perlu bersikap sama bukan sahaja pemain tetapi pengurusan juga perlu profesional.

Mohd Safarizal Mohd Sobri

“KFA atau KDA FC perlu mengenal pasti sebab-sebab pemain tersebut keluar adakah sebab ‘demand’ gaji, sudah tidak ada perasaan bermain dengan pasukan sekarang atau disebabkan mereka merajuk disebabkan kebajikan mereka sebelum ini tidak terjaga,” katanya kepada Cakap Sukan.

Mohd Safarizal berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan sebuah media berhubung penghijrahan pemain bola sepak profesional merupakan perkara biasa dalam sesebuah pasukan terutama apabila musim baharu liga akan bermula.

Menurut Muhammad Sanusi, perpindahan pemain lazimnya didorong oleh faktor tawaran gaji yang lumayan, bakat pemain yang berkemahiran tinggi dan kesesuaian dalam pasukan.

Beliau berkata, penghijrahan pemain bukanlah sesuatu yang luar biasa dan lumrah dalam mana-mana pasukan termasuk Kedah.

Baddrol Bakhtiar antara pemain utama yang dilapor meninggalkan pasukan.

Mohd Safarizal berkata, terdapat banyak khabar angin berhubung perpindahan beberapa pemain utama Hijau Kuning dan KDA FC diminta untuk menjelaskan situasi berkenaan bagi meredakan kebimbangan mereka.

“Sekarang banyak sangat khabar angin yang merisaukan penyokong Kedah. Penghijrahan tonggak utama Kedah dikatakan mereka berkecil hati dengan pengurusan sekarang dan KDA FC perlu nafikan jika perkara ini tidak benar,” katanya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: