
TOURISM Malaysia memanfaatkan Ride for Rations 2026, sebuah acara berbasikal rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia, sebagai platform strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan berasaskan pengalaman.
Inisiatif ini turut membuka peluang untuk membangunkan produk pelancongan berbasikal baharu bagi pasaran antarabangsa.
Dianjurkan oleh Bike Aid Singapore, Ride for Rations telah berlangsung selama 15 tahun dan memasuki edisi ke-16 pada tahun ini.
Edisi 2026 ini berlangsung dari 11 hingga 13 September 2026, merangkumi laluan dari Singapura ke Kluang dan Batu Pahat, Johor, dengan penyertaan kira-kira 70 orang peserta berbasikal dan 30 kru sokongan.
Sebanyak tujuh pakej pelancongan berbasikal yang dibangunkan oleh lima agensi pelancongan turut dilancarkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada program tersebut.
Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memperluas dan mempelbagaikan penawaran pelancongan Malaysia, khususnya dalam segmen pelancongan berbasikal dan sukan, selain membuka peluang baru kepada pemain industri serta komuniti setempat.
Acara ini mengetengahkan konsep kayuhan santai yang unik menerusi pendekatan “Ride, Eat and Ride Again”, yang membolehkan peserta meneroka destinasi tempatan sambil singgah di premis makanan tempatan, lokasi tarikan dan kawasan komuniti di sepanjang laluan.
Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk menikmati kepelbagaian tarikan Malaysia di luar pengalaman pelancongan konvensional melalui perjalanan yang lebih autentik dan menyeluruh.
Tourism Malaysia, menerusi kerjasama dengan Malaysia Sports Tourism Association (MySTA), menjadikan acara ini sebagai platform perintis bagi membangunkan produk pelancongan berbasikal untuk kumpulan kecil serta Pelancong Bebas (Free Independent Traveller – FIT).
Kerjasama ini memperkenalkan konsep pelancongan berasaskan pengalaman, “The Ride, The People & The Destination”, yang menggabungkan aktiviti berbasikal dengan pengalaman menikmati makanan tempatan, warisan budaya, interaksi bersama komuniti serta penerokaan tarikan destinasi.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada peserta berbasikal dan pemain industri, malah kepada komuniti setempat, pengusaha makanan, pengendali tarikan pelancongan, penyedia penginapan serta perusahaan kecil di sepanjang laluan kayuhan.
Tumpuan terhadap aktiviti berbasikal dalam kumpulan kecil juga sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman perjalanan yang lebih fleksibel, diperibadikan dan berasaskan pengalaman, khususnya dalam kalangan pelancong berbasikal santai dan FIT.
Selain penganjuran acara ini, inisiatif tersebut turut dijangka menyumbang kepada pembangunan model pelancongan berbasikal yang boleh diperluaskan dan diterapkan di destinasi lain di Malaysia serta laluan rentas sempadan, termasuk potensi pembangunan itinerari berbasikal Thailand–Malaysia.

Fokus awal akan tertumpu pada pasaran Singapura, dengan memanfaatkan kedudukan geografinya yang berdekatan serta minat sedia ada terhadap aktiviti berbasikal santai dan rekreasi, sebelum berkembang ke pasaran antarabangsa yang lain.
Program ini juga akan menjana pendedahan media dan digital di seluruh Singapura, Thailand, dan Indonesia, serta pasaran domestik, dengan mengetengahkan laluan berbasikal, sajian tempatan, budaya yang meriah, masyarakat yang mesra serta pengalaman destinasi yang penuh dengan keriangan di Malaysia.
Usaha ini seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang membolehkan pelawat “Ride, Explore and Experience” negara ini melangkaui tarikan pelancongan konvensional.
Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif dalam kehadiran pelawat dari Asia Tenggara, dengan sejumlah 15.4 juta ketibaan pelawat dari rantau tersebut direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Jumlah ini menunjukkan peningkatan 1.8 peratus berbanding 15.1 juta ketibaan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan ini jelas mencerminkan keyakinan dan minat berterusan pelancong Asia Tenggara terhadap pengalaman pelancongan Malaysia yang lebih imersif dan berasaskan pengalaman.









Add Comment