Bola Sepak

Renesh sambung legasi mendiang bapa bersama KL City, bakal berkahwin sehari selepas final


Renesh melakukan pemulihan terhadap salah seorang pemain KL City FC, Kenny Pallraj ketika sesi latihan kelab pada Ahad.

Oleh: MOHD FARIQ

DI sebalik kejayaan Kuala Lumpur City FC menamatkan penantian selama 32 tahun layak ke pentas final TM Piala Malaysia, terdapat satu lagi kisah yang tersembunyi di sini.

Kisah itu adalah momen istimewa buat fisioterapi Kuala Lumpur City FC, Renesh Prabaharan yang telah berjaya mengulangi legasi bapanya, mendiang K.Prabaharan.

Kepada sesiapa tidak mengenali K.Prabaharan, mendiang adalah bekas fisioterapi Kuala Lumpur FA dan berjaya memenangi Piala Malaysia secara hatrik bermula tahun 1987 sehingga 1989.

Mendiang Prabaharan (dalam bulatan) bersama pasukan Kuala Lumpur 1988 yang menjuarai tiga trofi Piala Malaysia, Liga Super dan Piala Perisai Komuniti.

Justeru, aksi final Kuala Lumpur City bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini bukan sahaja menaikkan semangat Renesh sebaliknya mengamit kembali nostalgia bapanya yang telah membantu skuad Warga Kota dalam era kegemilangan ketika itu memenangi gelaran Piala Malaysia.

Jelas Renesh,31, yang menguruskan legasi Axis Fisioterapi yang ditubuhkan oleh bapanya sejak 2010, mengakui kejayaan Kuala Lumpur City FC melangkah ke pentas final telah mengimbau kenangan klasik koleksi kejayaan bapanya sekali gus membuatkan dia berasa lebih bersemangat untuk beraksi di Stadium Nasional nanti.

Untuk rekod, K.Prabaharan meninggal dunia ekoran kanser prostat ketika berusia 54 tahun pada tahun 2010 lalu.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard yang telah memberikan peluang kepada saya untuk menjadi fisioterapi kepada pasukan utama dan satu peluang yang saya tidak akan mungkin menolaknya.

Renesh (kiri) mula menyertai pasukan KL City FC pada Ogos lalu.

“Kuala Lumpur cukup istimewa di dalam hati saya. Bapa saya telah melakarkan banyak kejayaan bersama pasukan ini dan kejayaan kami layak ke pentas perlawanan akhir sudah tentu membuatkan saya terasa sedikit emosi kerana saya membesar melalui koleksi kejayaan bapa saya.

“Bagaikan mimpi di mana saya sendiri tidak menyangka bahawa kami layak ke perlawanan akhir dan sudah tentu saya sangat terharu kerana dapat mengikuti jejak langkah ayah saya dan saya berharap kejayaan itu akan menjadi milik Kuala Lumpur City FC.

“Sejujurnya saya mahu ayah saya melihat saya di pentas final nanti tetapi ayah telah pergi meninggalkan kami semua sejak 12 tahun lalu dan saya berharap melalui kepakaran saya dapat membantu Kuala Lumpur City FC memperolehi persembahan positif,” katanya kepada Cakap Sukan.

Jelas lagi Renesh, dia telah bersedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada Kuala Lumpur City FC dan paling tepat mahu meneruskan legasi kejayaan yang ditinggalkan bapanya.

“Sebelum ini saya hanya bekerja sebagai sambilan sahaja namun peluang bersama KL City FC pada Ogos sememangnya dinantikan.

Renesh (kiri) meneruskan legasi mendiang bapanya sebagai fisioterapi bersama pasukan Kuala Lumpur.

“Mendiang ayah memang impian saya teruskan legasinya dalam bidang fisio ini dan akhirnya menjadi kenyataan. Saya percaya ayah pastinya bangga dan kerjaya ini akan diteruskan kerana memang menjadi impian saya,” katanya.

“Antara cabaran utama selaku fisio adalah untuk membuat keputusan telat dalam tempoh yang singkat. Kita perlu cepat apabila seseorang pemain itu mengalami kecederaan, perlu ditukar atau sebaliknya.

“Minda pemain juga perlu dipupuk untuk terus bersemangat mengharungi detik-detik pemulihan kecederaan,” katanya.

Sebagai rekod, Renesh yang bakal mendirikan rumahtangga bersama Rubini (1 Dis) sehari selepas aksi akhir Piala Malaysia 30 November ini  telah merakam pelbagai pengalaman termasuk bersama pasukan bola keranjang KL Dragons (2012-2020) yang menyaksikan pasukan ini muncul juara pada tahun 2015-16.

Dia juga turut berada dalam kontinjen negara pasukan bola keranjang ke Sukan SEA 2017, selain kontrak bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ketika keluar negara.

Dan terbaharu bersama KL City FC sejak Ogos 2021.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: