Bola Sepak

Akram enggan kecewa lagi buat kali kedua


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan enggan kecewa lagi buat kali kedua apabila bakal beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pentas final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Akram yang merupakan tunjang utama Kedah pada 2017 berdepan JDT ketika itu terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 sebelum dia menyertai PKNS FC tahun berikutnya.

Kini Akram yang merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2010 tekad membantu pasukannya, Kuala Lumpur City FC menamatkan aksi akhir dengan gelaran kejuaraan.

Akram bakal beraksi kali kedua dipentas final dengan berhadapan lawan yang sama.

Tegas pemain kelahiran Kulim Kedah ini dia bersedia sepenuhnya dengan cabaran sengit yang bakal diharungi dengan berdepan pemain-pemain berkualiti dimiliki JDT.

“Sebelum ini pentas pertama final bersama Kedah pada 2019 jumpa JDT dan tewas 0-3 terapi kali ini saya harap saya tidak akan kecewa lagi.

“Peluang terbaik buat kami semua selaku pemain dan pengurusan melakar sejarah buat KL City.

“Final kali ini agak berlainan sedikit dengan tempoh masa yang agak singkat, rata-rata pemain sedikit keletihan dengan skuad yang tidak besar dan mengharapkan semua pemain mampu cergas sepenuhnya,” katanya ditemui CAKAPSUKAN pada sesi latihan di Stadium KLFA, Cheras hari ini.

Akram yang turut dipanggil menyertai Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura, bulan depan menyifatkan tekanan sudah pasti ada pada JDT selaku juara bertahan.

“Kami akui pasukan lawan memiliki pemain berkualiti dibahagian tengah namun dalam kejohanan ini KL City telah bertemu dengan pasukan-pasukan yang hebat.

“Kami perlu fokus dan bersiap sedia menghadapi serangan dari pelbagai sudut namun ini adalah pentas final dan semua pemain ingin mengakhiri perlawanan dengan kejuaraan,” katanya.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading