Bola Sepak

Aidil Sharin setuju kekal bersama KDA FC musim depan


Aidil Sharin menerima tawaran untuk terus bersama KDA FC musim depan. Foto: KDAFC

Oleh: AMMAR HAZIQ

PENGENDALI Hijau Kuning, Aidil Sharin Sahak menyambut tawaran Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk terus mengemudi pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022.

Menurutnya, beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran tersebut atas faktor pengurusan, pemain dan juga penyokong setia Hijau Kuning.

“Syukur Alhamdulilah. Terima kasih diatas sokongan semua pihak yang diberikan kepada saya selama ini.

“Saya akan terus kekal mengemudi pasukan KDA FC pada musim 2022,” katanya sekaligus melenyapkan keresahan penyokong setia pasukan gergasi utara tersebut.

Ketua jurulatih daripada Singapura tersebut sebelum ini telah pulang ke negaranya selepas pasukannya tewas pada suku akhir Piala Malaysia 2021 kepada JDT sehingga menjadi teka-teki kepada penyokong KDA FC.

Sebelum ini Cakap Sukan melaporkan khidmat Aidil Sharin Sahak terus ditagih oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan musim 2022 selepas pasukan utara tersebut sudahpun menawarkan kontrak baharu kepada  pengendali dari Singapura itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, sentuhan Aidil Sharin masih diperlukan oleh Hijau Kuning memandangkan naib juara Liga Super 2021 itu  bakal berdepan saingan lebih sengit termasuk beraksi di pentas Piala AFC tahun hadapan.

“Kami sudahpun menyatakan hasrat mahu mengikat beliau bagi saingan musim 2022 musim depan dan kini kami hanya menunggu kata putus darinya sahaja.

“Khidmat beliau masih ditagih oleh KDA FC bagi meneruskan perjuangan pasukan ini kerana kami lihat saingan di kalangan pasukan yang bertanding dilihat semakin sengit,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: