Bola Sepak Komentar

Kumpulan penyokong serbu padang… salah siapa?


Penyokong-penyokong menyerbu ke padang sebaik sahaja KL City FC mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2021

Oleh: JJFIRDAUS

ISU penyokong menceroboh ke dalam padang selepas tamat perlawanan bukanlah isu baharu atau isu asing dalam dunia bola sepak. Keghairahan menyokong menyambut kejayaan pasukan kadang kala menyebabkan tindakan lebih cepat dari akal fikiran.

Sebelum ini, beberapa penyokong pelawat telah menceroboh padang untuk meraikan jaringan kemenangan ketika perlawanan peringkat kumpulan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Tindakan ini mengundang siasatan pihak berwajib kerana jelas berlaku pelanggaran SOP tatkala para penyokong baru sahaja dibenarkan kembali ke stadium selepas Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

Semalam (Khamis malam), pada perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2021, sekali lagi terjadi isu seperti ini dan lebih parah lagi apabila ramai penyokong yang masuk ke padang untuk menyambut kejayaan layak ke separuh akhir.

Perkara ini sememangnya tidak diingini kerana ianya akan mengundang lebih banyak kesan negatif kepada penyokong yang berkemungkinan tidak lagi dibenarkan hadir ke stadium untuk perlawanan akan datang.

 

Kepada siapakah kesalahan ini sepatutnya ditundingkan… Pengurusan pasukan, pihak stadium atau penyokong? Ini kerana isu ini berkait rapat dengan semua yang terlibat dalam menguruskan perlawanan bola sepak.

Mengapa tiada pasukan keselamatan diletakkan di hadapan penyokong. Mengapa banyak SOP yang dilanggar hanya dalam satu perlawanan bola sepak. Perkara ini perlu diambil serius oleh pasukan tuan rumah.

Peminat pula jangan menbandingkan pelanggaran SOP bola sepak dengan kempen politik kerana itu adalah permainan golongan atasan tetapi sukan mudah dipersalahkan dan menjadi industri pertama ditutup jika berlaku penularan pandemik.

Di sinilah pentingnya peranan pasukan keselamatan ataupun marshal untuk memastikan perkara seperti ini tidak terjadi. Kehadiran pasukan keselamatan sedikit sebanyak boleh menggagalkan cubaan penyokong menceroboh padang.

Mengambil contoh di selatan tanah air, stadium tanpa balapan pastinya lebih mudah diceroboh tetapi tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku kerana pihak pengurusan sudah meletakkan marshal bagi mengawal keselamatan dan keselesaan penyokong.

Kesemua marshal yang dilantik pula adalah dari mereka yang mempunyai latar belakang pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba mahupun anggota rela. Mereka bukan sahaja cekap dalam mengawal keselamatan tetapi juga mempunyai asas pertolongan cemas jika berlaku sebarang kecemasan.

Diharap pihak pengelola liga perlu lebih tegas dengan isu keselamatan ini. Ianya bukan hanya tentang pelanggaran SOP tetapi sememangnya keselamatan penyokong menjadi keutamaan pasukan tuan rumah.

Antara sukan yang boleh diambil contoh dari sudut keselamatan adalah sukan permotoran yang jelas menyatakan perlumbaan tidak boleh berlangsung tanpa kehadiran marshal yang cukup walaupun para pelumba sudah berada di grid untuk memulakan perlumbaan.

Pemain-pemain KL City FC merai kemenangan ke atas Sarawak United FC. Foto: MFL

Sudah sampai masanya perkara seperti ini dipandang serius demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak. Jangan hanya salahkan penyokong tetapi periksa dahulu di mana silapnya dan pastikan ianya ditambah baik dari masa ke masa.

Semoga tiada tindakan dikenakan pihak berwajib ke atas penyokong bola sepak. Cukup hanya mendenda pengurusan pasukan dan stadium kerana sikap acuh tak acuh mereka dalam menyediakan keselamatan buat penyokong. Fikir-fikirkanlah.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: