Bola Sepak

Nafuzi ‘rendah diri’ menjelang aksi separuh akhir bertemu JDT


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA jurulatih Terengganu FC Nafuzi Zain tidak mahu pasukannya dibandingkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 Isnin ini.

Pengendali berusia 43 tahun ini memberitahu, dia tidak mahu berbicara mengenai JDT kerana mereka jauh berbeza.

“Semua orang tahu fasal JDT jika hendak dibandingkan dengan TFC… memang jauh berbeza. Apa pun kami perlu betul-betul bersedia bertemu mereka nanti. Kita hanya selangkah untuk ke final,” jelasnya selepas merakam kemenangan bergaya aksi suku akhir ke atas Sarawak United Khamis malam.

Pertembungan Terengganu FC dan JDT mengulangi rekod pertemuan kempen 2019, namun Terengganu tewas besar 1-5 ‘kepada pasukan gergasi Selatan ini di peringkat suku akhir.

Mintah menyumbat dua gol pada aksi suku akhir kedua menentang Sarawak United Khamis malam. Terengganu FC menang secara agregat 6-3 ke atas SUFC. Foto: TFC

“Benda lepas adalah sejarah buat saya. Masa itu saya masih baharu lagi (sebagai jurulatih}. Benda-benda seperti itu dijadikan pengalaman untuk saya menjadi lebih baik.

“Sehingga sekarang pun saya masih belajar,” jelasnya merendah diri.

Dalam pada itu, Nafuzi turut memuji pemain-pemainnya yang mempamerkan aksi terbaik ketika bertemu Sarawak United yang menyaksikan mereka mencatat kemenangan agregat 6-3.

“Sebenarnya saya tidak menjangka empat gol bermain di tempat lawan. Mungkin kerana gol awal (Jordan Mintah) membuatkan pemain-pemain lain lebih yakin untuk bermain.

“Dari situ kita boleh jurangkan gol dengan lawan kerana kalau dengan hanya satu gol kita tidak akan selamat.

Nafuzi Zain.

“Kita bermain menyerang seperti biasa, cuma solidkan bahagian pertahanan. Saya juga gembira kerana penyerang sendiri yang menjaringkan gol hasil daripada bantuan rakan-rakan yang lain. Ia sesuatu yang baik untuk pemain dan pasukan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, TFC mula membuka pembelian tiket secara atas talian bermula 2 petang ini (Jumaat).

“Jualan tiket secara online akan dibuka pada 2 petang ini kepada semua penyokong, walaubagaimanapun kepada pemegang TFC MEMBERSHIP CARD kuota tiket sebanyak 4000 akan direzab selama 10 jam iaitu sehingga 20 November pukul 12 malam,” umum TFC menerusi Facebook rasmi kelab.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: