Bola Sepak

Christopher Raj pengurus skuad remaja negara, program rapi menjelang Piala Dunia B-17 2023


Christopher Raj dilantik sebagai Pengurus Pasukan Bawah 17 Tahun Negara.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PASUKAN Bawah 17 Tahun negara bakal membuat persiapan rapi menjelang Piala Asia B-17 2023 Bahrain yang menawarkan tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru pada tahun yang sama.

Tidak mahu menjadikan alasan dengan kekangan masa, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat perancangan yang teliti bagi memastikan skuad muda ini layak secara merit ke Piala Dunia B-17  ini bermula tahun hadapan.

Barisan kepimpinan FAM telah melantik Christopher Raj sebagai pengurus bagi skuad muda ini.

Apa yang pasti Christopher bukanlah orang asing dalam dunia bola sepak tanah air, malah beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media di FAM.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan Football Association of Malaysia di atas kepercayaan melantik saya selaku Pengurus Pasukan Bawah-17 tahun kebangsaan.

“Perlantikan tersebut telah diumum secara rasmi menerusi pengumuman hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali ke-3 penggal 2021-2025.

“Ini adalah satu penghormatan dan cabaran buat saya untuk mengetuai cabaran pasukan remaja kebangsaan.

“Pasukan ini adalah generasi baharu bola sepak negara dan sudah pasti tugas berat untuk saya memastikan kelompok pemain ini berjaya pada masa akan datang.

“Sebahagian besar pemain adalah daripada produk Akademi Mokhtar Dahari. Pasukan ini juga akan bersaing dalam Kelayakan Piala Asia B-17 pada 2022.

“Justeru, persiapan yang rapi akan dilakukan untuk memastikan pasukan ini layak secara merit ke pentas Asia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Christopher memberitahu barisan jurulatih belum diputuskan lagi, namun sudah tentu calon utama adalah daripada kalangan jurulatih dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

“Kita akan tentukan barisan kejurulatih untuk B-17 ini. Sudah tentu ada juga bekas pemain negara yang akan terlibat dalam barisan kejurulatihan yang telah menghabiskan sesi kejurulatihan mereka sama ada untuk Lesen A atau B.

“Secara keseluruhan ini akan menjadi satu pasukan yang bergandingan melalui FAM dan AMD apabila mereka mewakili negara kami ingin memastikan ada perhubungan yang kuat di antara kedua-dua pihak (FAM dan AMD).

“Persiapan pula kita akan menghantar pasukan ke sesi latihan dan perlawanan kompetitif di Arab Saudi pada Mac. Selepas itu akan ke Belgium selama 3 minggu untuk latihan dan perlawanan persahabatan.

“Dan kita masih berusaha untuk dapatkan satu lagi bagi latihan dan perlawanan.

“Manakala bagi calon jurulatih pula, kita sudah ada tetapi perlu berbincang dengan Pengarah Teknikal AMD, Saad Ichalalene.

“Sebenarnya sebelum Datuk Ong Kim Swee ke Sabah, beliau telah memberi satu dua nama jurulatih dan kami telah berjumpa dengan mereka. Cuma untuk mendapatkan khidmat waktu itu agak ketat dan salah seorang jurulatih itu telah mengikat kontrak yang panjang dengan sebuah kelab. Dan kami terpaksa menghormatinya.

“Tetapi kita tunggu Pengarah Teknikal FAM dan akan mengadakan perbincangan bersama Saad bagi memastikan yang terbaik untuk pasukan ini,” jelas Christopher.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: