Bola Sepak

FAM kongsi perkembangan terkini bersama PM


DELEGASI Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi berkongsi perkembangan terkini usaha merencanakan masa depan industri bola sepak tempatan yang kini bernafas semula.

Dalam pertemuan yang diadakan di Parlimen pada Isnin, Hamidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ismail Sabri atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa membincangkan beberapa perkembangan penting bagi menentukan masa depan bola sepak negara terutama dalam memasuki proses peralihan ke fasa endemik.

Hamidin mengambil kesempatan memberi maklumat terkini kepada perdana menteri mengenai usaha FAM dalam menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak Covid-19.

“Kami membentangkan dengan terperinci mengenai kalendar dan pengurusan terkini pasukan kebangsaan, pengurusan pertandingan domestik dan antarabangsa serta program pembangunan teknikal dengan matlamat memperkasakan lagi pasukan kebangsaan termasuk pasukan bawah 22 tahun, bola sepak wanita, belia, bola sepak pantai dan futsal.

“Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang diilhamkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014,” kata Hamidin.

Hamidin bersama Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Hamidin juga memohon pandangan Ismail Sabri mengenai usaha membangunkan tanah hak milik FAM yang lain bagi tujuan pembangunan bola sepak Malaysia dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

“Kami di FAM yakin Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang arif dan mampu memahami situasi semasa industri bola sepak negara, memandangkan beliau pernah memimpin Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2008-2009.

“Justeru, pandangan beliau adalah penting buat FAM terutama dalam melaksanakan perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara,” tambahnya.

Turut mengiringi Hamidin ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bersama Datuk S. Sivasundaram; Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: