
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PASUKAN Bawah 22 Tahun (B-22) negara beraksi dengan baik sepanjang dua perlawanan peringkat Kumpulan J Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2022.
Skuad negara mencatat kemenangan tipis dalam dua aksi bertemu Laos dan Mongolia yang menyaksikan mereka kini mendahului kedudukan kumpulan, dan bakal berdepan dengan pesaing terdekat Thailand dalam aksi terakhir Ahad ini.
Harapan peminat bola sepak negara untuk melihat penyerang muda sensasi Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan gol masih belum kesampaian kerana sentiasa dikawal ketat pemain-pemain lawan.
Pun begitu, Luqman tetap memainkan peranannya cuba membuat pergerakan menarik dan menghidupkan peluang-peluang gol di kawasan lawan.
Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim memberitahu situasi tersebut merupakan keadaan normal bagi pemain di posisi penyerang.
“Ramai yang meletak harapan tinggi kepada kepada pemain seperti Luqman. Dia baharu 19 tahun. Selagi dia dapat membantu pasukan ianya sudah cukup baik dan jangan lupa gol ketika bertemu Laos sebelum ini dia yang ciptakan peluang.

“Penyelesaian Luqman selalu kena kawal ketat itu ada dengan jurulatihnya. Jurulatih perlu mencari jalan bagaimana pemain perlu berdepan dengan kawalan ketat sama ada dari seorang, dua atau lebih pemain lawan,” kongsinya kepada Cakap Sukan.
Dalam pada itu, Teong Kim yang sentiasa mengikuti perkembangan pasukan muda negara mengakui gembira apabila melihat sembilan orang bekas pemainnya daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berada dalam skuad ini.
TAHNIAH & SELAMAT BERJAYA KEPADA 9 ORANG GRADUAN AMD
Tahniah dan Selamat Berjaya kepada 9 orang Graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Generasi 2002 dan Generasi 2003 yang telah terpilih mewakili negara ke Kelayakan Piala Asia B-23 2022, 25 hingga 31 Oktober 2021 pic.twitter.com/5X17UFLy24
— NFDP Official (@NFDPOfficial) October 22, 2021
“Inillah hasilnya. Mereka ada dalam skuad negara. Kalau Firdaus Ramli dan Alif Mutalib tidak alami kecederaan mungkin 11 pemain berada dalam skuad ini.
“Mereka semua baharu berusia 19 tahun, tetapi standard mereka sama level dengan pemain-pemain bawah 23 tahun yang lain. Kalau mereka tidak ada kualiti pastinya mereka tidak akan dipanggil menyertai skuad negara.

“Sebab itu saya selalu tekankan bahawa program pembangunan memerlukan pendedahan yang betul. Dan jurulatih-jurulatih kelab perlu berani menggunakan mereka ini dan memberi peluang bermain dengan minit yang lebih banyak. Bukannya hanya 10 atau lima minit dalam satu perlawanan,” tambahnya yang juga merupakan ketua jurulatih elit NFDP bermula 2014.
Dalam pada itu, Teong Kim meluahkan rasa ‘pelik’ kerana ada individu yang masih tidak berpuas hati dengan bekas pemain-pemain hasil daripada program di AMD ini.
“Saya lebih suka bercakap mengenai fakta dan bukti. Kita tengok sendiri Selangor FC II dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengambil ramai bekas pelatih (Generasi 2002 dan 2003) yang berada di bawah jagaan saya semasa menjadi Pengarah AMD.

“Perlu faham apa itu pembangunan bola sepak terlebih dahulu dan selepas itu bakat pemain-pemain ini akan dikembangkan menerusi peluang yang diberikan oleh kelab. Makin banyak peluang diberi, prestasi akan meningkat. Dan makin kuranglah rasa rendah diri mereka (jika bersama skuad senior),” tambahnya yang kini bermastautin di Jerman.
Antara pemain-pemain yang mendapat hasil daripada NFDP yang kini berada dalam skuad B-22 negara termasuk Azrin Afiq, Umar Hakeem, Luqman Hakim, Sikh Izhan, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Fahmi Daniel Azhad Harraz dan Faiz Amer.
Add Comment