Bola Sepak

CEO PFAM Izham dilantik sebagai Ahli Lembaga Global FIFPro


Izham Ismail. Foto: MFL

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dilantik sebagai Ahli Lembaga Global Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

Izham mewakili Bahagian Asia/Oceania dalam jawatankuasa global FIFPro, bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan Australia Kathryn Gill.

Sebelum ini Izham merupakan ahli Lembaga Pengarah FIFPro Asia/Oceania sejak 2015 dan telah mewakili pemain tempatan dan antarabangsa berkaitan perkara dalam kontrak dan urusan pekerjaan pemain sebelum dibawa ke Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA.

“Saya berbesar hati kerana dipilih untuk memegang jawatan ini dan saya berharap dapat membawa idea baharu bersama suara dan aspirasi pemain dari semua latar belakang yang berbeza, terutamanya di Asia,” katanya.

Izham menjalin hubungan rasmi bersama FAM dan berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman antara PFAM dan FAM pada 2017, dan turut membuat rundingan dan melaksanakan kontrak standard kepada semua pemain pemain bola sepak di Malaysia pada 2018.

“Setelah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Bahagian Asia/Oceania selama 6 tahun, saya berbangga dengan pencapaian kolektif kami di Asia, terutamanya dalam mencapai tahap baharu dalam usaha keahlian, advokasi dan komunikasi.

“Kami berada pada kedudukan tepat untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada pemain bola sepak di seluruh Asia dan saya berharap dapat melakukan perkara yang sama di peringkat dunia sebagai ahli lembaga Global,” tambahnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Baru-baru ini, Izham mengetuai rundingan antara PFAM dan FAM untuk menubuhkan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan bagi menambah baik mekanisme penyelesaian pertikaian dalam bola sepak Malaysia.

FIFPro merupakan organisasi perwakilan pemain bola sepak profesional seluruh dunia berpengkalan di Amsterdam, Belanda.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: