Bola Sepak Komentar

Seteru Negeri Sembilan, Sarawak persis ‘Drama 1991’

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aksi Richard selepas menang ke atas Sarawak. (Keratan akhbar laporan perlawanan turut menjadi koleksi peribadi penulis)

 

Oleh MOHD FARIQ

ADA satu memori penulis ingin kongsikan.

Ia adalah kisah mengenai pertarungan Negeri Sembilan dan Sarawak yang telah berlaku pada hari Ahad, 18 Ogos 1991.

Penulis bersama arwah bapa telah menjadi saksi perlawanan epik itu.

Ketika itu penulis sememangnya peminat tegar bola sepak di mana Negeri Sembilan atau Sarawak bukanlah pasukan penulis tetapi sebagai penyokong yang mengikuti perkembangan penulis mendapat peluang untuk turun menonton di stadium.

Satu perjalanan yang bermula dari Gombak, Selangor itu sukar untuk dilupakan.

Masakan tidak penulis pergi bersama bapa ditemani sahabat beliau yang menjadi pemandu kereta bergerak ke destinasi.

Zaman itu kami melalui jalan lebuh raya lama dan laluan lebuh raya sekarang masih belum ada ketika itu.

Tiada media sosial untuk kami penyokong bola sepak zaman itu di mana keratan akhbar sahaja yang menjadi pemangkin semangat untuk menunjukkan betapa rasa cinta terhadap pasukan bola sepak.

Syukur Alhamdullilah penulis bersama bapa selamat tiba di lokasi. Ketika itu venue keramat Negeri Sembilan adalah Stadium Perbandaran Seremban yang kini sudah tiada dan tapak kawasan itu telah dibangunkan pasar raya sebelum wujudnya Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Stadium Majlis Perbandaran Seremban pada tahun 1991.

Stadium penuh dan sesak selepas 12,000 penonton hadir dan 10,000 orang terpaksa menunggu di luar kerana tidak dapat masuk bagi menyaksikan pertembungan dahsyat di antara Negeri Sembilan dan Sarawak yang bermain di sebelah petang.

Membuatkan lagi perlawanan itu menjadi lebih panas, Negeri Sembilan terdesak untuk menamatkan penantian 43 tahun memenangi gelaran liga buat julung kalinya.

Waktu itu Negeri Sembilan hanya memerlukan satu mata sahaja manakala Sarawak berdepan misi wajib tiga mata untuk menjadi juara Liga Divisyen Dua.

Dalam aksi mendebarkan itu, Negeri Sembilan yang meletakkan Richard Scully (kini dikenali Datuk Richard Scully dan bertugas sebagai Ketua Unit Pengajar Jurulatih serta Pencari Bakat Akademi Mokhtar Dahari) mengetuai gawang telah bermain dalam tekanan ketika berdepan Sarawak yang mempertaruhkan Jalil Ramli.

Richard menjadi pemain penting skuad Negeri Sembilan 1991. Foto: FB Datuk Richard Scully

Dalam aksi itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-33 menerusi Marian Valach tetapi John Hunter berjaya menyamakan kedudukan buat Sarawak pada minit ke-44.

Jalil mengejutkan pasukan tuan rumah apabila meletakkan pasukan pelawat berada di depan selepas menanduk gol kedua pada minit ke-53.

Perlawanan menjadi semakin mendebarkan apabila Sarawak itu telah mendahului 2-1 sebelum penyerang import Hoben Jang Hoben, Marian Valach menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti di babak-babak akhir perlawanan.

Jika diikutkan, Valach sebenarnya gagal menyempurnakan sepakan penalti melalui percubaan pertama tetapi pemain asal Croatia itu memperbetulkan kesilapan itu selepas menendang masuk bola ‘rebound’ apabila penjaga gol Sarawak, Affendi Jol berjaya menepis.

Namun selepas itu pengadil meniup wisel penamat sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan menjuarai Liga Divisyen Dua dengan mencatatkan keputusan seri 2-2.

Suara kegembiraan penyokong Negeri Sembilan bergema di stadium termasuk penulis sendiri meraikan kejayaan mereka dan betapa ghairahnya jiwa bola sepak penulis sebelum dua tahun kemudian penulis menjadi wartawan sukan bola sepak bermula tahun 1993.

Kenangan 30 tahun itu telah berlalu tetapi pertembungan Negeri Sembilan dan Sarawak sekali lagi menjadi perdebatan.

Sebenarnya pertembungan kedua-dua pasukan ini telah mengingatkan penulis bahawa Negeri Sembilan dan Sarawak United telah mengulangi satu sejarah suatu ketika dahulu dalam misi merangkul gelaran liga berbaki dua perlawanan terakhir musim ini.

Malam ini Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bakal menjadi penentu buat Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC membuat perhitungan untuk bergelar juara Liga Premier 2021.

Atas kertas, Sarawak United selaku pendahulu Liga Premier yang telah mengutip 37 mata hanya perlu mencatatkan kemenangan untuk menjadi sang juara.

Keratan akhbar berkaitan laporan perlawanan masih disimpan penulis sehingga hari ini.

Negeri Sembilan yang berada di tangga kedua dapat ditentukan sebagai pemenang Liga Premier pada perlawanan terakhir liga musim ini jika dapat menundukkan Sarawak United nanti.

Jika seri, aksi terakhir liga akan menjadi penentu di mana Sarawak United akan menentang Johor Darul Ta’zim II dan Negeri Sembilan akan bertemu PDRM pada 21 September depan.

Cukup dramatik dan inilah yang dimahukan kita semua sebagai penyokong bola sepak.

Mampukah Sarawak United membalas dendam dengan mempertahankan status pendahulu sekali gus mengesahkan sebagai juara Liga Premier manakala mampukah Negeri Sembilan mengulangi kejayaan lalu?

Sama-sama kita saksikan malam ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: