Komentar

Beng Hee produk disiplin Malaysia

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Keratan akhbar tahun 1999 yang masih disimpan penulis mengenai Beng Hee.

 

Oleh: MOHD FARIQ

SEMALAM kita dikejutkan dengan satu perkhabaran gembira selepas Ong Beng Hee telah dilantik menjadi Ketua Jurulatih bagi skuad skuasy Amerika Syarikat.

Bekas pemain nombor satu negara itu diumum sebagai pengendali baharu bagi menggantikan ketua jurulatih kebangsaan Amerika Syarikat, Paul Assailante.

Secara peribadi, penulis menumpang rasa bahagia Beng Hee yang sebelum ini menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan dan Ketua Jurulatih skuad skuasy Qatar.

Kepada sesiapa mengenali Beng Hee, 41, kita semua pasti berkongsi satu nada di mana kejayaan beliau bukanlah bersandarkan kepada tuah semata-mata sebaliknya kerja keras sentiasa menjadi peranan.

Penulis masih mengingati pengalaman membuat liputan dengan salah satu ikon skuasy negara ini.

Beng Hee sebenarnya produk disiplin untuk sukan skuasy Malaysia di mana tahap profesionalisme pemenang dua kali pingat emas Sukan Asia itu sentiasa terbela baik di dalam mahu pun di luar gelanggang.

Beng Hee sememangnya terkenal dengan disiplin tinggi. Kisahnya yang diterbitkan pada tahun 1994 masih disimpan penulis.

Penulis berani berkata sedemikian bukan disebabkan kenal Beng Hee hanya satu malam sebaliknya penulis telah melihat karakter itu sudah ada dalam dirinya ketika membuat liputan beliau kira-kira 25 tahun lalu.

Selama karier profesional beliau sepanjang 17 tahun, Beng Hee telah berjaya menjuarai 15 gelaran Siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sebelum mengambil keputusan bersara pada tahun 2015.

Menurut Beng Hee, beliau menjelaskan keputusan untuk menyertai pasukan skuasy Amerika Syarikat dilihat menjadi satu platform terbaik bagi mengembangkan potensinya dalam karier kejurulatihan.

“Salah satu sebab mengapa saya memohon kerjaya ini adalah saya mahu mencabar diri saya sendiri.

“Saya berpendapat perancangan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat memiliki fasiliti baharu serta memiliki 21 court di mana itulah impian buat mana-mana jurulatih dan di situlah saya mahu berada,” katanya.

Beng Hee kini memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Skuasy Amerika Syarikat.

Penulis ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Beng Hee yang berani mengambil risiko berkelana di luar negara demi mengembangkan kariernya.

Secara tidak langsung pelantikan Beng Hee telah membuka mata ramai pihak di mana atlet atau jurulatihan kelahiran Malaysia juga memiliki kepakaran setanding dengan negara-negara lain.

Selamat maju jaya Beng Hee dan terus menuntut ilmu tidak kira di mana jua anda berada.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: