Bola Sepak Komentar

Harimau Kumbang bukti bukan sekadar pelengkap!

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Penang FC menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super musim ini.

Oleh: MOHD FARIQ

MENGAGUMKAN!

Itulah penulis dapat simpulkan rumusan pencapaian pasukan Pulau Pinang FC sepanjang bermain di dalam Liga Super bagi musim 2021.

Sebagai pendatang baharu ke divisyen satu liga negara pada musim ini, ramai tidak menyangka skuad Harimau Kumbang itu berjaya menempatkan diri di dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super dengan mencatatkan 41 mata sepanjang 22 perlawanan.

Penulis sendiri turun menyaksikan perlawanan Pulau Pinang ketika seri 2-2 menentang Terengganu di Stadium Bandaraya baru-baru ini .

Cuma penulis berpendapat kejayaan Pulau Pinang itu mungkin lebih manis jika kelibat penyoking-penyokong dapat kembali di stadium sebagaimana pihak kerajaan masih melarang penonton hadir ke stadium dalam tempoh endemik Covid-19 ini.

Bukan mudah untuk mana-mana kelab terutama pendatang baharu untuk terus kekal dalam kempen Liga Super.

Sebagai contoh, UiTM FC yang dipromosi ke Liga Super sejak 2020 berjaya mengutip 17 mata pada penampilan sulung sebelum tersingkir ke saingan Liga Premier pada musim depan selepas menduduki tangga tercorot pada musim ini.

                    Keratan akhbar mengenai pasukan Pulau Pinang yang menjadi koleksi penulis.

 

Sabah pula menduduki tangga ke sembilan Liga Super 2021 dan bagi saingan Liga Super 2019, Felda United sebagai pendatang baharu sekadar menduduki tangga kesepuluh.

Jadi secara statistik menunjukkan betapa bukan mudah buat pasukan terutama yang baharu dipromosi ke Liga Super untuk bertahan tetapi Pulau Pinang membuktikan sebaliknya.

Justeru ini membuktikan Pulau Pinang telah membuat persediaan rapi sebelum mereka beraksi di kempen Liga Super musim ini di mana penulis mahu memberikan kredit kepada Pulau Pinang FC yang telah ada formula sendiri untuk mengejutkan pasukan-pasukan di dalam Liga Malaysia.

Biarpun kali terakhir kejayaan Pulau Pinang memenangi gelaran liga kira-kira 20 tahun lalu, penulis secara peribadi menganggap pujian harus diberikan kepada mereka di mana persaingan untuk menduduki kelompok tiga teratas Liga Super bukan satu tugas yang mudah.

Ini kerana penulis dapat mengingati kali terakhir Pulau Pinang menjulang trofi liga ketika berada di bawah kepimpinan bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dalam saingan Liga Premier (kini dikenali sebagai Liga Super) pada 2001.

PULAU PINANG LEBIH BANYAK MENGGANAS DI MEDAN LAWAN

Jika kita melihat kembali keputusan yang dicatatkan sepanjang musim ini, Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan 19 mata ketika bermain di laman sendiri dan berjaya mengutip 22 mata sepanjang beraksi di gelanggang lawan.

Ternyata kehebatan skuad Harimau Kumbang bukanlah hebat di laman sendiri sebaliknya mereka kekal konsisten ketika berkunjung ke tempat pasukan lawan.

Berdasarkan rekod, Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan tujuh kemenangan, tiga seri dan tewas sekali sepanjang bermain di gelanggang lawan manakala merakamkan lima kemenangan, empat seri dan dua kali tewas ketika bermain di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Pujian harus diberikan kepada pengendali skuad Harimau Kumbang, Trucha Tomas yang telah berjaya mencaturkan strategi ampuh buat skuad kendaliannya pada musim ini.

Tomas Trucha

Siapa sangka jurulatih yang persis persona pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak mengambil masa lama untuk melakukan impak bersama Pulau Pinang yang kini menjadi pasukan bersedia untuk bermain di Piala AFC sekiranya Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kedah Darul Aman FC (KDA) memenangi TM Piala Malaysia 2021 nanti.

Tidak dilupakan juga sumbangan jurulatih tempatan, Akmal Rizal Rakhli yang juga antara penyumbang kejayaan Pulau Pinang pada musim ini.

Akmal yang membantu Pulau Pinang menjuarai Liga Premier musim lalu berkata: “Saya sangat gembira kerana berjaya membantu pasukan berada kedudukan lebih baik dalam Liga Super musim ini dan saya mahu berterima kasih kepada Pulau Pinang di atas kepercayaan mereka terhadap saya selama ini.”

Apa yang pasti, kebangkitan Pulau Pinang bukan sekadar dirasai oleh penyokong-penyokong mereka sahaja sebaliknya menjadi tumpuan kepada pemerhati sukan bola sepak negara seperti penulis yang mengharapkan skuad Harimau Kumbang akan terus konsisten memberikan kualiti dalam misi mengangkat nilai Liga Malaysia itu sendiri.

KITA PERLU LEBIH BANYAK PASUKAN BERKUALITI

Kesimpulannya kita dapat menyaksikan jurang sesama pasukan Liga Super semakin hampir.

Biarpun kita terpaksa akui bahawa kualiti JDT tampak lebih jauh dan meninggalkan pasukan-pasukan lain, sekurang-kurangnya kelab lain seperti Pulau Pinang telah menunjukkan contoh betapa mereka telah bersedia untuk bersaing dengan pasukan elit.

Musim ini kita dapat melihat Pulau Pinang, KDA termasuk Terengganu FC telah melaksanakan tugas yang baik dalam persaingan merebut kelompok tiga teratas Liga Super.

Namun dalam masa yang sama penulis mengharap akan lebih banyak pasukan-pasukan lain agar terus kekal bersemangat dan agresif untuk membuktikan kualiti mereka tersendiri di mana penyokong-penyokong bola sepak negara sentiasa dahagakan persembahan seimbang sesama pasukan.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kejayaan Pulau Pinang sedikit sebanyak telah membuka mata pasukan-pasukan lain untuk mengorak langkah lebih jauh bermula TM Piala Malaysia 2021 nanti.

Keratan akhbar menegenai Harimau Kumbang koleksi penulis pada tahun 2001.

Penulis berharap Malaysian Football League (MFL) dapat mencari mekanisme dengan memohon kebenaran daripada pihak kerajaan agar membenarkan penonton kembali ke venue.

Bukan apa, ia akan menjadi satu kejayaan buat peminat-peminat sukan bola sepak di mana mereka mahu memberikan sokongan di dalam stadium apatah lagi tahun ini merupakan ulangtahun ke-100 Piala Malaysia dan sudah pasti penyokong juga mahu melakarkan sejarah peribadi dalam kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu.

Akhir kata daripada penulis, teruskan melakukan revolusi terhadap kelab masing-masing di mana kami sebagai penyokong sentiasa akan memberikan sokongan teguh kepada kelab yang dicintai.

Cuma suka penulis mengingatkan bahawa mereka yang memegang jawatan penting di kelab masing-masing, inilah masa membantu bola sepak tempatan khususkan pasukan sendiri, bukannya medan mencari publisiti.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: