Bola Sepak

“Semua keputusan mengikut ketetapan Manual Liga Malaysia 2021” – CEO MFL


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam menegaskan bahawa keputusan bantahan Negeri Sembilan FC terhadap Kelantan FC adalah mengikut ketetapan Manual Liga Malaysia 2021.

Menjawab kepada pertanyaan daripada CAKAP SUKAN mengenai keputusan yang dikenakan ke atas Kelantan iaitu RM30,000 dan amaran keras dan bukannya hak kemenangan kepada Negeri Sembilan FC, Stuart memberitahu Ahli Lembaga Pengarah MFL telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan bantahan ini dan Ahli Lembaga MFL merujuk kepada semua laporan perlawanan, laporan MC, laporan pengadil dan kenyataan yang diberi oleh semua pihak.

“MFL telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan FC pada 30 Ogos yang memperuntukkan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 dalam kes melibatkan pasukan mereka menentang Kelantan FC.

“Dalam surat bantahan tersebut, Negeri Sembilan FC turut melampirkan Artikel 2.1.1 dan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: EKSKLUSIF: “Kami akan buat rayuan…” – Presiden NSFC

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiga mata penuh untuk kita… itu sepatutnya” – Tunku Syed Razman

“Manakala pasukan Kelantan FC pula menjawab bantahan NSFC pada 31 ogos.

“Pada 3 September, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan bantahan ini dan Ahli Lembaga MFL merujuk kepada semua laporan perlawanan, laporan MC, laporan pengadil dan kenyataan yang diberi oleh semua pihak.

“Ahli lembaga juga meneliti semua peruntukan yang terkandung di dalam Manual Liga Malaysia termasuk Artikel 2.1.1, 2.1.2, 2.1.3, 5.3.1, 5.3.2 dan lain lain semasa mesyuarat untuk membuat keputusan yang telah pun semua maklum sekarang.

“Semua keputusan telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL mengikut ketetapan Manual Liga Malaysia 2021,” jelasnya kepada CAKAP SUKAN.

Isu tersebut timbul berikutan kesalahan pertukaran pemain yang dilakukan ketika aksi Kelantan FC bertemu Negeri Sembilan FC pada 27 Ogos lalu yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad IV.

Insiden tersebut menyaksikan tuan rumah telah membuat pertukaran pemain seramai lima orang dan menggunakan empat peluang yang telah memberi impak dan mempengaruhi keputusan perlawanan.

Susulan itu, Negeri Sembilan FC telah melakukan bantahan pada 30 Ogos kepada MFL.

Namun, Negeri Sembilan FC tidak berpuas hati dengan keputusan yang diterima pada 4 September dan kini dalam proses menghantar surat rayuan kepada MFL.

Pada aksi 27 Ogos lalu, Kelantan FC berjaya mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 2-1.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: