Komentar

Sukan Malaysia: Budaya atau trend?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu.

Oleh: MOHD FARIQ

SEMALAM kita semua telah menyaksikan barisan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Seperti biasa, Menteri Belia dan Sukan menjadi portfolio popular yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar dalam kelompok masyarakat khusus pengikut sukan negara ini.

Pertama penulis mahu merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas perlantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu.

Diharap Ahmad Faizal dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan mantan menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam usaha memacu sukan Malaysia di persada antarabangsa.

Namun seperti penulis nyatakan awal tadi, penantian Menteri Belia dan Sukan baharu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah menjadi harapan kepada rakyat adalah untuk melihat sukan Malaysia menjadi lebih maju.

Maju yang dimaksudkan itu bukanlah sekadar membina atau memiliki fasiliti canggih bertaraf dunia sebaliknya pencapaian juga harus seiring juga dituntut.

Stadium Nasional Bukit Jalil terpilih sebagai Stadium Terbaik Kongres Dunia 2018.

Mengimbau kembali sejarah Menteri Belia dan Sukan sejak 1964 bermula Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seramai 20 individu telah dilantik termasuk Ahmad Faizal.

Namun dukacita dimaklumkan negara Malaysia masih gagal untuk menghadirkan sekalung pingat emas sepanjang kita bertanding di dalam Sukan Olimpik.

Kita sendiri merah padam atau cemburu apabila negara jiran, Indonesia telah berjaya merangkul pingat emas Sukan Olimpik hasil kejayaan Greysia Polii-Apriyani Rahayu memenangi badminton acara beregu wanita di Tokyo awal bulan ini.

Pertama penulis tidak berniat untuk merendahkan komitmen atlet kebangsaan sepanjang mereka berhempas pulas dalam temasya sukan itu.

Cuma penulis mencari logika di manakah kelemahan perancangan kita dalam misi memburu pingat emas Sukan Olimpik dan sejujurnya kita harus berbuat sesuatu lain daripada yang lain kali ini.

Silap formula atau rezeki belum tiba?

Melihat perancangan Majlis Sukan Negara (MSN), penulis masih menaruh harapan tinggi di atas pelaksanaan program mereka dalam melahirkan atlet berkelas dunia saban tahun.

Biarpun kita masih kempunan untuk mencium pingat emas Sukan Olimpik sehingga hari ini, MSN telah bertungkus lumus bukan sahaja mencungkil bakat baharu sebaliknya berusaha keras untuk mengeluarkan potensi yang sedia ada dalam barisan atlet masa kini.

Cuma kesinambungan program untuk mengekal atau mencari pengganti atlet berkelas dunia kita tampak sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Ada yang mengatakan rezeki belum memihak kepada kita tetapi penulis kurang bersetuju kerana penulis yakin sukan di negara kita semakin berkembang dan berada di arus sama seperti negara lain.

Jika mahu dikatakan daripada sudut kejurulatihan, kita sendiri telah mengambil inisiatif dengan mengambil tenaga pengajar dari luar negara.

Seperti mana penulis tekankan, di mana kelemahan kita sebenarnya?

Sejujurnya, penulis sendiri akui buntu melihat penantian pingat emas Sukan Olimpik masih belum berakhir dan rakyat sangat berharap dapat menyaksikan momen ini dalam tempoh akan datang.

Chong Wei mengumpul tiga pingat Olimpik tanpa kilauan emas.

Bukan apa penantian negara kita untuk merasai pingat buat kali pertama selepas menyertai Olimpik pada tahun 1956, bermula pada tahun 1992 selepas pasangan Razif dan Jalani Sidek berkongsi pingat gangsa dengan beregu China, Li Yongbo dan Tian Bingyi.

Datuk Lee Chong Wei menjadi atlet terbaik dalam Sukan Olimpik dengan mencatatkan pencapaian dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi badminton acara perseorangan pada tahun 2008, 2012 dan 2016.

Dan kini penulis yakin rakyat semua tidak sabar untuk meraikan kejayaan meraih pingat emas Sukan Olimpik kerana inilah Malaysia, negara yang sentiasa mendukung barisan atlet yang berjuang demi negara.

Misi wajib pingat emas di Paris 2024

Sekarang Ahmad Faizal harus mencongak strategi pantas dalam misi merealisasikan pingat emas Sukan Olimpik di Perancis pada 2024.

Berbekalkan pelan biru yang ditinggalkan oleh mantan-mantan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal harus ‘memecut’ dengan mengintai formula terbaik untuk menamatkan penantian seluruh rakyat Malaysia ini.

Penulis fikir tempoh tiga tahun bermula dari sekarang bukanlah satu tempoh panjang atau pendek, mungkin ia seimbang dan inilah masa terbaik mengatur strategi di mana kekuatan kita sebenar untuk memburu kilauan pingat emas pertama.

Malah penulis masih yakin Malaysia memiliki keupayaan untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik pada suatu hari nanti kerana kita juga memiliki atlet-atlet berkelas dunia sama seperti negara-negara lain.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga antara pihak yang bakal memainkan peranan penting dalam menjayakan misi penting ini.

Mungkin tidak keterlaluan untuk penulis mengatakan bahawa MOM harus mencari mekanisma atau formula yang terbaik untuk menetapkan rekod kebangsaan.

Secara peribadi penulis berpendapat tetapan bagi rekod kebangsaan agak rendah dan kita harus memperbaiki perkara ini terlebih dahulu kemudian barulah kita akan mendapat atlet yang berkompetitif tinggi.

Bukan apa jika di tempat saringan terakhir Sukan Olimpik pun telah dapat memecahkan rekod kebangsaan secara tidak langsung atlet akan cepat berpuas hati daripada sudut psikologi dan penulis fikir masalah ini juga harus diperbaiki segera.

Datuk Azizulhasni Awang sandaran pingat emas Paris 2024 selepas meraih perak di Tokyo 2020. Foto: Azizulhasni Awang.

Dalam masa yang sama, penulis sangat berharap rakyat Malaysia sentiasa memberikan sokongan teguh kepada industri sukan kita sendiri.

Jika semangat mahukan pingat emas Sukan Olimpik boleh menambahkan aura seluruh rakyat Malaysia, mengapa sentimen sama tidak boleh diaplikasikan terus mendukung sukan tanah air sendiri?

Di kesempatan ini juga penulis ingin merakamkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi melakar sejarah dengan menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Dan paling menggembirakan seluruh tanah air, harapan untuk melihat emas pertama Olimpik Tokyo 2020 tercapai apabila atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin meraih kilauan emas dalam acara powerlifting 72 kilogram di Paralimpik Tokyo hari ini. Tahniah, tahniah, tahniah!

Akhir kata daripada penulis, majulah sukan untuk negara.

Nota: Siri kedua penulis ingin mengajak perbincangan berkenaan situasi budaya sukan di Malaysia


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: