Komentar

Malaysia: Negara Sukan atau sebaliknya?


Oleh: MOHD FARIQ

BEBERAPA hari lalu penulis sempat membincangkan mengenai perancangan negara dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik julung kalinya sejak Malaysia menyertai temasya sukan itu bermula 1956.

Ada beberapa cadangan penulis lontarkan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) harus mengkaji semula tetapan rekod kebangsaan bagi terus mengeluarkan potensi atlet negara.

Namun penulis juga memiliki satu teori lain mengatakan mengapa negara kita masih gagal untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik sehingga hari ini.

Secara peribadi penulis menganggap salah satu kegagalan kita bukan berpunca daripada program atau sesi latihan atlet kebangsaan.

Sebaliknya penulis percaya kita masih belum mampu berdiri sebaris dengan negara-negara elit lain disebabkan sentimen semangat negara sukan itu sendiri.

Pertama kita harus bertanyakan kepada diri sendiri adakah Malaysia layak digelar sebagai negara sukan?

Suka atau tidak bagi pandangan penulis, Malaysia masih belum mencapai standard menjadi sebuah negara yang memiliki budaya sukan yang ampuh.

Benar kita ada pelbagai program bagi mencungkil bakat, mengintai atlet baharu dan sebagainya tetapi sejujurnya program itu untuk memupuk supaya lebih ramai rakyat secara sukarela menyintai sukan-sukan nampak seperti masih belum berjaya menghubungkan sesama kita.

Mungkin segelintir masyarakat sendiri menganggap industri sukan masih tidak dapat memberikan jaminan di mana profesion tersebut bukanlah pilihan pertama dalam kalangan masyarakat kita yang lebih berminat untuk menjadi doktor, jurutera dan lain-lain berbanding ahli sukan.

Industri sukan Malaysia masih belum stabil

Mungkin kenyataan itu sukar untuk ditelan tetapi inilah realiti yang berlaku dalam negara kita.

Ini kerana biarpun Malaysia memiliki banyak ikon sukan antaranya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David sekali pun, tak ramai rakyat kita dilihat tidak berminat untuk berada dalam industri sukan.

Nicol antara ikon sukan negara paling berjaya.

Mungkin sebahagian mereka menganggap industri sukan sekadar menjadi hiburan atau paling kurang sukan sekadar menjadi aktiviti untuk keluarkan peluh sahaja.

Buatlah seberapa banyak promosi, pertandingan atau sebagainya untuk sukan apa pun, penulis dapat membayangkan rakyat masih teragak-agak untuk menjadikan sukan sebagai karier mereka.

Jika kita melihat negara-negara luar, mereka sangat melindungi kepentingan sukan yang dianggap sebagai salah satu identiti mereka.

Sebagai contoh, kerajaan England tetap membenarkan kejohanan bola sepak berlangsung dalam tempoh pandemik Covid-19 dan jaminan itu jelas menjadi faktor psikologi yang mendorong rakyat mereka terus menyintai sukan mereka sendiri.

Berbalik di negara sendiri, pihak kerajaan masih belum melihat potensi sebenar industri sukan di mana kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Malaysian Football League (MFL) membatalkan kejohanan Piala Malaysia pada tahun lalu.

Sebenarnya terlalu banyak perbandingan jika kita mahu ceritakan semua tetapi kesimpulannya industri sukan masih belum konkrit dalam struktur profesion di Malaysia.

Inilah realiti yang harus ditelan di mana semua pihak khususnya kerajaan harus mencari formula untuk memartabatkan industri sukan, bukan sekadar dilihat ‘pelengkap’ semata-mata kepada sektor ekonomi negara.

Jika sentimen budaya untuk memupuk semangat dalam kalangan rakyat tidak berjaya, jangan ditanya mengapa Malaysia masih belum berjaya merangkul pingat emas Sukan Olimpik.

Industri sukan di Malaysia dalam keadaan tenat

Kita semua telah dapat melihat apa yang sedang berlaku di dalam industri sukan tanah air kita sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Umum mengetahui tentang permasalahan yang berlaku terutama membabitkan pengusaha padang komersial, futsal, badminton dan lain-lain sukan yang melibatkan aktiviti sentuhan sedang berdepan ‘gulung tikar’ dalam pandemik ini.

Nasib kurang baik menimpa terhadap pengusaha sukan-sukan kerana majoriti perniagaan mereka terjejas disebabkan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican sebelum ini telah banyak turun padang bagi membantu golongan ini dengan bertindak sebagai pengantara kepada pihak kerajaan.

Justeru Menteri Belia dan Sukan baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu harus memainkan peranan penting untuk mendapatkan maklumat serta mendengar permasalahan yang berlaku sebelum menjadi pengantara kepada pihak kerajaan dengan membela survival golongan industri ini dapat diteruskan.

Ahmad Faizal baharu dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa Covid-19 telah ‘bersama’ dalam kehidupan seharian kita dan kita harus menempuhi dengan norma baharu.

Namun ia bukan alasan buat kita di mana penulis percaya kita semua masih memiliki keupayaan untuk menghapuskan rantaian pandemik Covid-19 jika kita semua kekal berdisiplin dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ini kerana jika kita melanggar SOP yang memberikan kesan kepada sektor sukan, sudah pasti kita akan mengecewakan perjuangan kita semua yang telah berhempas pulas untuk memastikan kesejahteraan industri sukan-sukan dalam tempoh PKP.

Kita boleh mengambil contoh atau mengkaji modul pelaksanaan Sukan Olimpik Tokyo supaya dapat diinplikasikan dalam industri ini sebagaimana temasya itu telah menjadi contoh terbaik buat penganjuran sukan dalam tempoh pandemik.

Apa yang kita boleh lakukan adalah ‘kita jaga kita’ dan inilah yang mustahak bagi memastikan keseimbangan serta keharmonian sektor sukan kembali terpelihara.

Jadi bantulah mereka dengan membenarkan kembali operasi bukan sahaja berkepentingan kepada kelangsungan kehidupan mereka sendiri sebaliknya demi survival industri sukan tempatan kita.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: