
Oleh : SUBKHI SUDARJI
ATLET powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin mengakui teruja dengan pingat emas pertamanya di Sukan Paralimpik selepas meraih pelbagai kejayaan termasuk menjadi juara dunia dan pemegang rekod dunia.
Namun pada masa sama atlet kelahiran Sarawak berusia 22 tahun ini sedikit kecewa kerana gagal memecahkan rekod dunia miliknya tetapi berazam untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang termasuk di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Ini adalah kenangan manis buat saya kerana kali pertama beraksi di Sukan Paralimpik dan semalam saya ada hubungi keluarga saya untuk mereka doakan saya, dan hari ini saya berajaya.
“Saya akui nak kejar lagi banyak kejayaan selepas ini. Kita akan bertemu Paris 2024,” katanya pada sidang media secara maya selepas memenangai acara berkenaan.
Pada masa sama, Bonnie, 22 , percaya kehadiran pingat emas pertama negara menerusi dirinya akan menjadi pembakar semangat buat atlet lain dalam mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan.
“Awal-awal saya nak lakukan 220kg tetapi rendahkan sebab nak cari keyakinan. Mula naik pentas saya rasa macam-macam, takut gagal dan sebagainya tetapi pendam sendiri sahajalah.
“Saya percaya pingat emas ini akan menjadi perangsang kepada atlet lain dan saya percaya lebih banyak pingat akan diraih selepas ini.
“Dan pingat emas ini adalah sempena Hari Kemerdekaan negara,” katanya.
Bonnie, 22, merangkul pingat emas dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) selepas melakukan angkatan 228 kg sekaligus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.
Bagaimanapun, Bonnie gagal dalam percubaannya untuk memecah rekod dunia yang dipegangnya selepas gagal
melakukan angkatan seberat 231 kg.
Add Comment